KUALA NERUS: Koperasi Kariah Masjid Padang Nenas Kuala Terengganu Berhad (Komanas) mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi masjid paling aktif dan berdaya saing selepas menerima Anugerah Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Terengganu sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut menjadi bukti kejayaan koperasi dalam memperkasa ekonomi ummah dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan serta pengimarahan Masjid Padang Nenas, yang menjadi pusat aktiviti komuniti setempat.
Pengerusi Komanas, Zainal Sulaiman yang juga Pengerusi Masjid Padang Nenas berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat dalam kalangan ahli dan kariah masjid yang bersama-sama memacu koperasi sejak penubuhannya pada 2013.
“Anugerah ini memberi motivasi besar kepada kami untuk terus berusaha menjadikan koperasi bukan sahaja platform keusahawanan, malah instrumen memperkukuh institusi masjid dan mempererat hubungan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, jumlah aset terkumpul koperasi setakat 31 Ogos 2024 adalah sebanyak RM122,685 yang merangkumi bangunan inap desa, kiosk perniagaan, perabot, wang simpanan tetap dan wang tunai.
Katanya, nilai itu dijangka terus meningkat berikutan pertambahan saham anggota dan perolehan geran RM40,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menaik taraf bilik serta perabot inap desa.
“Inap desa yang diwujudkan mendapat sambutan menggalakkan apabila tempahan sentiasa penuh terutama pada cuti persekolahan. Malah kita akan menambah beberapa unit inap desa selepas ini selain dewan acara dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 13 Disember 2013 dengan 60 anggota awal, Komanas kini dianggotai oleh 143 pemegang saham, menandakan pertumbuhan positif dalam keanggotaan dan kepercayaan masyarakat terhadap koperasi.
“Antara aktiviti ekonomi yang dijalankan ialah sewaan kios perniagaan, kedai runcit, perkhidmatan inap desa, pembekalan makanan, panel EZ Qurban melalui KoGURU, jualan Bakul Rahmah, urus niaga minyak masak terpakai, perkhidmatan kerusi urut serta aktiviti pertanian melalui program pawah lembu kampung.
“Selain menjana pendapatan, koperasi juga aktif dalam menyokong pembangunan fizikal masjid dengan menyumbang dana dan barangan bagi kerja-kerja naik taraf seperti pembinaan bilik imam, kawasan kaki lima, tempat letak kereta, penyelenggaraan sistem pembesar suara dan penghawa dingin, serta baik pulih kemudahan wuduk dan tandas,” katanya.
Zainal berkata, Komanas turut menyumbang kepada pengimarahan masjid melalui tajaan program kuliah agama, ceramah, kursus keagamaan, iftar Ramadan, sarapan pagi untuk Jemaah Subuh Jumaat serta penyediaan bahan bacaan seperti al-Quran dan kitab malah ahli koperasi juga terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan masjid dan kawasan sekitarnya.
Katanya, Komanas komited untuk terus menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi kariah dan memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu, perpaduan dan pembangunan insan.-UTUSAN










