KUALA LUMPUR: Kegiatan dua sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menahan enam individu termasuk tiga wanita warga asing di sekitar ibu negara dan Selangor dan merampas dadah bernilai RM3.85 juta.
Penahanan kesemua suspek berusia 33 hingga 61 tahun dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi enam serbuan antara 14 hingga 17 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pada 14 Oktober melibatkan seorang lelaki tempatan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir atas bumbung di sebuah pasar raya di Maluri, Cheras.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 1,000 peket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 18,310 gram (g)
“Serbuan kedua dilakukan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Selangor sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan. Polis kemudiannya dibawa ke sebuah rumah di kawasan itu, di mana seorang wanita warga asing turut ditahan dan beberapa jenis dadah dijumpai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Fadil berkata, operasi ketiga dilancarkan pada 2.30 petang keesokan harinya dengan penahanan seorang lagi wanita warga asing di sebuah unit kondominium di Pandan Perdana, Ampang jaya dengan tiga peket lutsinar berisi serbuk disyaki MDMA dirampas.
“Dalam serbuan keempat di lokasi sama, seorang lagi wanita warga asing ditahan. Pemeriksaan tubuh menemui enam paket plastik berisi kapsul MDMA. Serbuan kelima, hasil maklumat suspek, membawa polis ke sebuah lagi unit dalam kondominium sama yang dijadikan pusat pemprosesan dadah berskala besar,” jelasnya.
Kata Fadil, sebanyak 7,650 paket plastik berisi serbuk disyaki MDMA selain empat bekas plastik berisi serbuk tambahan serta pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas.
Jelasnya, serbuan terakhir dilakukan pada 17 Oktober di mana seorang lelaki tempatan ditahan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Imbi.
“Pemeriksaan terhadap kereta miliknya menemukan 38,710g ganja mampat. Secara keseluruhan, polis merampas 462,765g serbuk MDMA, ketamin (32.78g), erimin 5 (195g), ekstasi (52.81g) dan ganja (38,710g),” ujarnya.
Fadil memberitahu hasil siasatan mendapati sindiket pertama aktif sejak Februari tahun ini dan memproses dan mengedar MDMA di sekitar Lembah Klang.
“Sementara sindiket kedua yang beroperasi dalam pengedaran ganja mula beroperasi pada September,” jelasnya. –UTUSAN










