SUNGAI GOLOK (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand mempergiat operasi besar-besaran di sepanjang sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang ekoran kejadian 10 lelaki bersenjata melarikan barang kemas bernilai RM3.11 juta dalam rompakan di Pasar Raya Big-C, di sini kelmarin.
Langkah itu diambil kerana bimbang kumpulan bersenjata itu cuba melarikan diri ke Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, kumpulan penjenayah terbabit yang lengkap bersenjata M16, AK104 serta pistol, bertindak pantas menyerbu sebuah kedai emas di tengah-tengah kesibukan orang ramai membeli-belah.
Menurut jurucakap polis, lapan daripada mereka yang berpakaian hitam dan bertopeng masuk melalui Pintu Dua pasar raya sebelum menahan pengawal keselamatan dan mengugut pekerja kedai emas berkenaan.
“Mereka memecahkan cermin dan kotak pameran sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM3.11 juta,” katanya.
Selepas rompakan, kumpulan itu menabur paku di laluan keluar dan meninggalkan tong gas seberat 15 kilogram yang dipercayai dipasang bahan letupan untuk menghalang pihak keselamatan mengejar mereka.
Dalam kekecohan itu, seorang anggota tentera, Sarjan Mejar Burinsawon Radachai, 27, yang kebetulan berada berhampiran kedai emas berkenaan, ditembak oleh salah seorang suspek bersenjata M16, menyebabkan kecederaan di paha, bahu dan pipi.
Mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Golok dan dilaporkan stabil.
Jurucakap polis memaklumkan pasukan keselamatan Thailand menutup beberapa laluan utama di kawasan sempadan berkenaan bagi memburu kumpulan terbabit yang dipercayai melarikan diri menggunakan dua trak pikap yang dilaporkan hilang di sebuah kampung berhampiran.
Setakat ini, tiada orang awam cedera namun seorang pengawal keselamatan mengalami trauma selepas dijadikan tebusan ketika rompakan.
Pihak berkuasa Thailand kini mempergiat operasi besar-besaran di sepanjang sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang, bimbang kumpulan bersenjata itu cuba melarikan diri ke Malaysia. – UTUSAN










