Polis tahan lima remaja buat aksi berbahaya, halang ambulans - Utusan Malaysia

Polis tahan lima remaja buat aksi berbahaya, halang ambulans

VIDEO tular memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal yang menghalang laluan ambulans di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan lima remaja lelaki disyaki menunggang motosikal secara berbahaya serta menghalang laluan ambulans dalam kejadian yang tular di media sosial sejak minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kesemua suspek berusia 17 tahun dan masih bersekolah itu diberkas di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara pukul 3 petang hingga 9 malam, semalam.

Katanya, tangkapan ke atas mereka dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.

“Pada 25 Oktober lalu, kira-kira pukul 1 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar mengesan video tular memaparkan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kilometer 249, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 19 Oktober sekitar pukul 3.15 petang ketika ambulans berkenaan sedang dalam perjalanan untuk memberi bantuan kemalangan di Kilometer 260 lebuh raya sama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, ambulans tersebut telah dihalang oleh sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya di lorong kanan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kelima-lima suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan mereka ditahan reman selama dua hari sehingga esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 37 saat yang memaparkan tindakan lima remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dan menghalang laluan ambulans, meskipun siren dibunyikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN