REMBAU: Ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan di tandas sebuah sekolah di daerah ini semalam tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini tengah hari tadi.
Suasana hiba kemudian terus menyelubungi di pekarangan kawasan tersebut di mana ibu bapa kanak-kanak itu turut diziarahi oleh ahli keluarga dan kenalan. Difahamkan proses post mortem telah bermula tengah hari tadi.
Terdahulu tinjauan pemberita di sekolah terbabit kira-kira pukul 11.30 pagi tadi pula mendapati pintu masuk sekolah dikawal rapi oleh pengawal keselamatan serta kelihatan pergerakkan keluar masuk kenderaan Kementerian Pendidikan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan di bawah Seksyen 507 C Kanun Keseksaan.
“Kami menyiasat secara menyeluruh untuk menentukan sama ada wujud atau tidak sebarang unsur-unsur buli berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Alzafny memberitahu, murid itu ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan pada waktu tengah hari semalam.
Katanya, polis menerima maklumat kira-kira pukul 1.19 petang mengenai kematian mangsa yang disahkan doktor ketika menerima rawatan di sebuah klinik.
“Mangsa dibawa ke pusat rawatan tersebut oleh guru disiplin namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum dihantar ke klinik berkenaan,” katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan mengesahkan insiden berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagaimanapun berkata, pihaknya memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Ia bagi menjaga emosi keluarga, selain menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan penuh. – UTUSAN










