JELI : Polis meminta pihak berkuasa Thailand menghantar gambar dan nama suspek rompakan barang kemas yang bernilai RM3.11 juta dari sebuah kedai emas di Golok pada 5 Oktober lalu yang didakwa berada di negara ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd.Yusoff Mamat berkata, pihaknya bersedia membantu mengesan suspek sekiranya mempunyai maklumat daripada pihak berkuasa Thailand.
Katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada pihak Thailand yang mendakwa tujuh suspek berada di Malaysia.
“Kalau ada maklumat atau nama dan gambar suspek terbabit, kita boleh bantu kesan mereka berada.
“Kita tidak terima sebarang permohonan untuk membantu mengesan suspek,” katanya selepas merasmikan Penutup Latihan Amal Simulasi Ancaman Pengganas di Empangan Kuala Yong, Batu 15, Stesen Janakuasa Sultan Ismail Petra, Pergau, di sini, hari ini.
Mohd.Yusoff berkata, sejak penutupan sempadan pada 31 Disember lalu, pihaknya sudah lama memperketat kawalan di sempan Malaysia-Thailand bagi mengawal kemasukan barangan seludup dan rentas sempadan.
Katanya, pihaknya bersedia bila-bila masa membantu mengesan suspek sekiranya ada maklumat. – UTUSAN










