Empat individu diburu ekoran kes pemerasan di R&R Tapah

Empat individu diburu ekoran kes pemerasan di R&R Tapah

Azlin Sadari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Empat individu termasuk dua wanita diburu polis bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerasan membabitkan sebuah keluarga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, laporan kejadian dibuat seorang lelaki berusia 60 tahun yang mendakwa kereta jenis Toyota Unser yang dipandunya telah diekori dua kenderaan lain.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat pada pukul 1.23 petang hari yang sama itu, mangsa turut memaklumkan bahawa kereta jenis Proton X50 dan Honda WRV itu mengekori kenderaannya dari Terowong Menora ke R&R Tapah.

“Insiden tersebut dipercayai berpunca apabila mangsa memotong sebuah lori di laluan lebuh raya sebelum suspek yang menaiki Proton X50 dan Honda WRV meminta mangsa memberhentikan kenderaan di kawasan tempat letak lori di hentian berkenaan.

“Empat individu termasuk dua wanita yang menaiki kedua-dua kenderaan itu kemudian berjumpa dengan mangsa dan menuntut ganti rugi. Mangsa dan keluarganya menyerahkan wang tunai RM180 sebelum mereka meninggalkan lokasi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Jalan Pasir Puteh, di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN