KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima laporan kimia berkaitan cecair yang disuntik membabitkan serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Puchong dekat sini, 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan kimia daripada Jabatan Kimia.
“Masih negatif, kita masih menunggu. Sekiranya ada perkembangan kita akan maklumkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada 25 Ogos lalu, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua pihak supaya bersabar sementara menanti laporan penuh perubatan berhubung serangan menimpa anak Ahli Parlimen Pandan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, proses siasatan termasuk laporan perubatan memerlukan masa bagi memastikan setiap dapatan dapat dibuat secara menyeluruh.
Pada 13 Ogos lalu, polis mengesahkan anak lelaki tunggal Rafizi berusia 12 tahun diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Mohd. Khalid dilaporkan berkata, seramai 19 individu dipanggil keterangan termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu dan pekerja serta sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit.
Malah, identiti suspek yang terlibat dalam serangan itu masih belum dapat dikenal pasti susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kurang jelas.
“Tetapi rakaman CCTV itu nampak tidak begitu jelas dan tidak dapat dikenali individu berkenaan,” katanya. – UTUSAN










