PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu membuat penambahbaikan secara keseluruhan termasuk membabitkan kepimpinan parti demi kelangsungan gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penambahbaikan dalam struktur dan intipati parti dilihat mampu memperkukuhkan gabungan itu.
“Saya setuju sekiranya ada penambahbaikan PN perlu dibuat sama ada di peringkat negeri, bahagian dan pusat untuk kita perkukuhkan.
“Contohnya ada perubahan dalam kepimpinan, Bersatu membuat perubahan bagi ketua pengerusi-pengerusi negeri. Dalam Pas pun ada pesuruhjaya yang ditukar dan sebagainya. Yang keduanya, perlu ada penjadualan tetap untuk mengadakan mesyuarat PN di peringkat negeri-negeri.
“Mungkin ada hala tuju PN. Jadi, saya fikir itu penambahbaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
PN kini diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun terdapat beberapa pihak mula mempersoalkan Pas sepatutnya mengetuai gabungan tersebut kerana jumlah kerusi Parlimen parti itu lebih dominan.
Malah pada September lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sudah tiba masanya Pas mengetuai dan memimpin PN dalam berdepan PRU16.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setiap keputusan berhubung kepimpinan PN dibincang bersama parti komponen.
“Saya tengok ia mungkin faktor Pas paling banyak kerusi di Parlimen dan di negeri-negeri dimenangi PN. Keduanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih dulu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dan cuma kita teruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN kini menubuhkan satu entiti baharu dikenali sebagai Majlis Presiden PN yang dianggotai oleh semua presiden parti komponen iaitu Pas, Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan.
Beliau berkata, majlis itu berperanan mengendalikan urusan tertinggi gabungan secara bersama di peringkat kepimpinan, dengan setiap presiden duduk pada kedudukan sama rata.
“Semua duduk pada satu tahap sama. Jadi sebarang masalah di semua peringkat, akan dibawa ke Majlis Presiden,” katanya.-UTUSAN









