ROM: Ducati mengesahkan pelumba ujian mereka, Michele Pirro akan menggantikan Marc Marquez bagi Grand Prix (GP) Australia minggu depan, namun tempat di Sepang masih belum diputuskan.
Marquez, juara dunia tujuh kali, terpaksa diketepikan selepas patah tulang selangka dan cedera ligamen bahu kanan akibat berlanggar dengan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi pada GP Indonesia.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu segera diterbangkan pulang ke Madrid untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum disahkan mengalami retak di pangkal tulang coracoid serta kecederaan ligamen.
“Susulan kecederaan yang memaksa Marquez terlepas dua pusingan MotoGP, Ducati Lenovo Team mengesahkan Michele Pirro akan menggantikannya di Phillip Island,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan ringkas.
Pirro, 39, yang menjadi pelumba ujian rasmi Ducati sejak 2013, akan membuat penampilan ke-70 dalam kelas premier menggunakan jentera Desmosedici GP.
Dengan peraturan konsesi baharu, Ducati tidak lagi dibenarkan menurunkan pelumba wildcard, menyebabkan Pirro hanya boleh beraksi sebagai pengganti rasmi.
Tempat Marquez di GP Malaysia masih terbuka, dengan pelumba Superbike Dunia, Nicolo Bulega disebut-sebut sebagai calon utama membuat penampilan sulung MotoGP.
Selain Bulega, nama seperti Alvaro Bautista, Andrea Iannone dan Danilo Petrucci turut disebut sebagai antara pilihan Ducati untuk mengisi kekosongan di Sepang. -AGENSI