Pilihan raya Myanmar hanya ‘kosmetik’ untuk Junta kekal berkuasa

Pilihan raya Myanmar hanya ‘kosmetik’ untuk Junta kekal berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang untuk rakyat Myanmar menikmati demokrasi melalui pilihan raya hasil transisi kuasa daripada Junta bagi menubuhkan sebuah kerajaan berdemokrasi adalah amat tipis buat masa ini.

Ini disebabkan beberapa faktor antaranya realiti keselamatan di Myanmar masih belum benar-benar stabil dan tindakan Junta mengharamkan beberapa parti pimpinan pembangkang daripada menyertai pilihan raya yang kononnya akan diadakan.

 Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shazwanis Shukri berkata, realiti itu menunjukkan bahawa proses pilihan raya yang akan diadakan tidak akan bebas dan adil.

Katanya, kawalan ketat Junta terhadap institusi keselamatan, media dan badan pentadbiran menjadikan pilihan raya yang dirancang lebih bersifat kosmetik dan sekadar untuk memberi legitimasi kepada pemerintahan autoritarian.

“Ini menggambarkan fenomena yang dikenali sebagai pseudo-democracy atau electoral authoritarianism, di mana pilihan raya digunakan sebagai instrumen untuk mengekalkan kekuasaan dan tidak menawarkan pilihan yang sebenar kepada rakyat.

“Oleh itu, melihat dalam konteks sekarang, sebarang pilihan raya di bawah junta lebih cenderung untuk mengekalkan status quo daripada mengembalikan demokrasi tulen kepada rakyat Myanmar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, jika pilihan raya diadakan di Myanmar dalam masa terdekat, kestabilan politik jangka panjang masih sukar untuk dicapai.

Katanya, ia disebabkan pengalaman sejarah menunjukkan tentera Myanmar memiliki keupayaan dan kehendak politik untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat apabila kepentingannya terancam, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2021.

“Tentera Myanmar, melalui Perlembagaan 2008, masih mengawal sebahagian besar struktur kuasa termasuk kawalan ke atas pasukan keselamatan, badan kehakiman, serta 25 peratus kerusi Parlimen yang dikhaskan kepada mereka.

“Ini memberikan mereka ‘kuasa veto’ terhadap sebarang pindaan Perlembagaan dan justifikasi undang-undang untuk mengambil alih kuasa atas alasan keselamatan negara.

“Selain itu, dalam suasana di mana banyak kawasan masih dikuasai oleh kumpulan etnik bersenjata dan tentera rakyat, tentera boleh menggunakan alasan ketidakstabilan untuk mengisytiharkan darurat serta menangguhkan atau membatalkan keputusan pilihan raya,” katanya.

Shazwanis berkata, walaupun pilihan raya mungkin diadakan, risiko penggulingan kerajaan pilihan rakyat oleh pihak tentera adalah sangat tinggi.

“Junta masih mempunyai kelebihan institusi, ketenteraan, dan psikologi untuk memanipulasi keadaan politik dan memastikan dominasi mereka tidak terhakis.

“Secara keseluruhannya, sebarang pilihan raya buat masa ini hanya akan melahirkan kestabilan sementara dan bukannya demokrasi yang mampan di Myanmar,” katanya – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN