KUALA LANGAT: Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya (SKSJ) melancarkan Tabung Bencana Ribut dalam usaha memulihkan prasarana di sekolah tersebut.
Menurut Yang Dipertuanya, Dr. Abdul Razak Khasbullah, sumbangan kewangan itu bertujuan memastikan usaha membaiki kerosakan akibat ribut pada Rabu lalu berjalan lancar.
“Bencana ribut atau angin pusar ini amat mengejutkan bukan sahaja warga SKSJ malah seluruh penduduk kawasan ini. Kerosakan yang masih belum dipastikan jumlah yang tepat ini, memang memerlukan kos pemulihan yang besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebanyak 40 rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai rosak akibat bencana ribut dan angin kencang yang berlaku di daerah ini, dua hari lalu.
Abdul Razak berkata, SK Sijangkang Jaya adalah lokasi yang paling terjejas akibat bencana alam tersebut dan pihaknya berharap sekolah tersebut boleh beroperasi semula dengan bantuan kewangan untuk pemulihan prasarana sumbangan semua pihak.
“Buat masa ini pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak membenarkan sebarang kerja pembersihan termasuk gotong-royong oleh ibu bapa.
“Kita akur dengan segala arahan,namun kita berharap pemulihan sekolah itu disegerakan agar sesi pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan,” ujarnya..
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh memasukkan wang ke akaun Agro Bank 1000541000001602 atas nama PIBG SK Sijangkang Jaya.










