PGA rampas produk kosmetik, kesihatan tidak berdaftar RM1.4 juta - Utusan Malaysia

PGA rampas produk kosmetik, kesihatan tidak berdaftar RM1.4 juta

ANTARA produk kosmetik dan kesihatan yang dirampas dalam pemeriksaan di R&R Sungai Perak arah selatan di Kuala Kangsar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran produk kosmetik dan kesihatan tidak berdaftar bernilai RM1.42 juta menerusi pemeriksaan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah selatan di sini semalam.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam operasi oleh Cawangan Risik PGA Briged Utara itu, dua lelaki warga tempatan berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan di dalam dua buah lori dipandu lelaki terbabit menjumpai 5,000 botol minuman produk pemutih kulit bernilai RM1.1 juta dan 144 kotak tablet kunyah vitamin C bernilai RM100,800.

“Turut dirampas ialah dua buah lori dianggarkan bernilai RM220,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.42 juta” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil risikan mendapati, produk berkenaan dipercayai dikeluarkan dari sebuah kilang di Jitra, Kedah untuk diedarkan ke sebuah syarikat yang beroperasi di Selangor.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati produk yang dibawa itu tidak mempunyai pelekat hologram dan nombor pendaftaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Produk kosmetik dan kesihatan serta lori telah dirampas dan diserahkan kepada Penguatkuasa Farmasi Negeri Perak manakala kedua-dua pemandu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN