Peruntukan pembangunan Sabah, Sarawak meningkat

Peruntukan pembangunan Sabah, Sarawak meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terus menepati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memberikan peruntukan tertinggi Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan terutamanya prasarana asas di kedua-dua negeri tersebut.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak meningkat kepada RM6.9 bilion dan RM6 bilion berbanding RM4.4 bilion serta RM2.9 bilion pada 2022.

Katanya, mulai tahun ini, kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM300 pada tahun 2023.

“Walaupun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah pada Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan.

“Insiden tanah runtuh di Penampang telah memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230 ribu pengguna pantai timur Sabah. Langkah segera diambil bagi memulih bekalan. 

“Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. 

Katanya, projek itu dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan.

“Terkait projek lebuh raya di Sabah dan Sarawak, sembilan pakej Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya dan telah dibuka untuk kegunaan rakyat. Empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap.

“Tahun 2026, RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut jadual,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 dijangka siap November 2026 sementara SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.

Katanya, Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak, justeru Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026.

“Kerajaan akan menaik taraf struktur turapan jalan sedia ada bagi jajaran red line di seksyen Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos RM350 juta. Secara keseluruhan, kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos mencecah RM48 bilion,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN