Peruntukan negeri tidak wajar dipolitikkan, diberi ikut keperluan - PM

Peruntukan negeri tidak wajar dipolitikkan, diberi ikut keperluan – PM

ANWAR pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian AIGA 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa soal peruntukan kepada negeri tidak harus dijadikan isu politik, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan negeri berkenaan.

Perdana Menteri berkata, walaupun hasil daripada Sabah dianggarkan sebanyak RM10 bilion, namun perbelanjaan yang disalurkan kepada negeri itu mencecah RM17 bilion.

“Jadi soal hasil dari Sabah RM10 bilion, belanja untuk Sabah RM17 bilion, bagi saya bukan isu. Itu ikut keperluan. Perlis sampai sekarang masih dibantu termasuk dari segi gaji penjawat awam kerana hasilnya sangat terbatas,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut membidas dakwaan kononnya ada negeri yang dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, Kerajaan Madani telah menambah peruntukan kepada beberapa negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bukan atas dasar politik, tetapi atas faktor keperluan sebenar seperti bencana alam.

Beliau turut menyentuh mengenai negeri Sabah dengan menyatakan bahawa kerajaan dalam beberapa tahun lalu telah menambah peruntukan khas Sabah secara berperingkat daripada sekitar RM126 juta sebelum ini kepada RM300 juta pada 2023 dan akan dinaikkan lagi kepada RM600 juta mulai tahun 2025.

Beliau menjelaskan, peningkatan itu mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan Pusat serta keperluan untuk menyiapkan beberapa projek pembangunan penting di Sabah yang masih tertangguh, terutama bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.

“Ini bukan kerana pertimbangan khusus Sabah, ini kerana keperluan kita membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap. Bekalan air yang masih belum siap diluluskan tahun 2024 dan InsyaAllah siap tahun depan.

“Elektrik Sabah yang dulunya di bawah pusat diserahkan kepada negeri tapi negeri tentunya tidak upaya untuk menjana pelaburan awal maka kerajaan Persekutuan, walaupun diserah kepada negeri masih membelanjakan RM1.2 bilion bantuan dan juga pinjaman,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN