Peruntukan ahli Parlimen kekal, fokus tangani isu rakyat

Peruntukan ahli Parlimen kekal, fokus tangani isu rakyat

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan fokus terhadap usaha menangani keperluan mendesak rakyat termasuk projek-projek kritikal dan bantuan kepada kumpulan rentan tanpa meningkatkan peruntukan kepada ahli Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana kedudukan kewangan kerajaan pada ketika ini perlu disalurkan kepada program yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Kalau mengharapkan peningkatan, saya merasakan agak mencabar dengan kedudukan kerajaan pada masa ini. 

“Tetapi tumpuan kali ini adalah lebih kepada untuk membantu rakyat kita, projek-projek yang kritikal, masalah banjir, masalah bekalan air, tenaga kepada keseluruhan masyarakat kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setiap ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan hingga RM2.2 juta seorang dari 2023 hingga 2024.

Katanya, peruntukan khas Perdana Menteri itu hanyalah sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia lima tahun serta tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan turut akan memberi keutamaan kepada sokongan terhadap kumpulan rentan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

“…Kumpulan-kumpulan rentan itu akan menjadi tumpuan kerajaan. Itu juga yang saya harapkan, supaya dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat kita dan membantu mereka dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ini,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Fadillah menjelaskan bahawa tiada peruntukan khas disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, kerana semua dana pembangunan kawasan masih diuruskan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Peruntukan Ahli Parlimen adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diagih-agihkan. Ahli Parlimen hanya dapat mencadangkan projek-projek. Yang ada pun hanyalah untuk pengurusan Pusat Khidmat Ahli Parlimen,” katanya.

Katanya lagi, langkah menumpukan perbelanjaan kepada keperluan rakyat dan projek kritikal adalah pendekatan paling realistik dalam memastikan keseimbangan antara tanggungjawab fiskal dan kebajikan rakyat.

Ketika ditanya adakah perbincangan mengenai peruntukan ahli parlimen pembangkang masih berjalan, Fadillah hanya menjelaskan ia adalah topik lama dan enggan mengulas lebih lanjut.

“Dah lama topik itu,” katanya ringkas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN