PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi akan mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) sebagai syarat menggunakan aplikasi sosial atau temu jodoh, OMi.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meneliti perkara itu.
Beliau berkata, MCMC juga akan memanggil pihak syarikat yang mengusahakan aplikasi tersebut untuk mendapatkan penjelasan.
“Kita juga akan pertimbangkan untuk menggunakan eKYC yang menggunakan dokumen yang diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi pengesahan umur dan identiti.
“Kita akan ambil tindakan. Jadi saya telah minta kerana OMI ni dia adalah aplikasi yang sedikit berbeza,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.
Katanya, syarikat penyedia aplikasi itu turut diminta menjelaskan apakah langkah dan mekanisme sistem verifikasi umur yang diguna pakai aplikasi itu ketika ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, pertimbangan sama juga akan diberikan bagi permainan dalam talian, Roblox.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan wakil Roblox yang berpengkalan di Korea Selatan dan Australia dua hari lalu bagi memaklumkan pandangan kerajaan mengenai isu membabitkan permainan itu.
“Kerajaan memandang serius beberapa insiden yang berlaku termasuk yang terbaru melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang telah mencederakan adiknya yang berusia 6 tahun dipercayai akibat terpengaruh dengan permainan itu,” katanya.
Katanya, ketika ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum lagi dikenakan sebarang rejim pelesenan.
Bagaimanapun, katanya, pihak kerajaan sedang mempertimbangkan apakah langkah yang terbaik bagi memastikan pengesahan identiti untuk mengelakkan kanak-kanak
terdedah kepada kemudaratan dalam talian.
“Ketika ini rejim pelesenan terpakai untuk platform media sosial dan sistem pemesejan internet sahaja,” katanya.
Katanya, kerajaan mengambil maklum pandangan dari pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang menimbulkan kegusaran akibat daripada penggunaan pelbagai aplikasi permainan dalam talian termasuk Roblox ketika ini.-UTUSAN









