KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali, 32, memohon maaf sekiranya pertanyaannya mengenai maksud perkataan kacip di laman Thread baru-baru ini menimbulkan salah faham dan membawa pengaruh negatif kepada pengikut media sosialnya.
Kata Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali, tindakannya itu sosial tidak didorong niat lain selain keinginan untuk mendapatkan pencerahan mengenai maksud sebenar perkataan tersebut.
“Jujurnya saya tak tahu maksud kacip sehinggalah mendapat pencerahan daripada pengikut media sosial mengenai maksud sebenar perkataan itu.
“Saya mohon maaf sekiranya pertanyaan saya itu menimbulkan tanggapan negatif selain membawa pengaruh buruk kepada pengikut saya di media sosial.
“Saya ingatkan ia sekadar perkongsian santai dan lawak jenaka, malangnya tidak,” ujarnya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui selepas sesi bersama peminat sempena pelancaran single terbaharunya, Balas Balik di Kolej Kediaman Melati, UiTM, Shah Alam.
Nabila pada 12 Oktober lalu mencuri perhatian apabila secara tiba-tiba bertanyakan mengenai maksud perkataan kacip menerusi satu hantaran di Thread.
“Eh, sekejap, nak tanya apa maksud kacip tu eh?” Soalnya.
Pertanyaan Nabila itu mengundang pelbagai respons peminat dan rakan artis yang meninggalkan pandangan di ruangan komen hantaran berkenaan.
Susulan itu, Nabila yang mesra disapa Bella menyeru kepada pengikutnya agar tidak melazimi perkataan tersebut.
“Kepada yang menonton, jangan ulang perkataan itu,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan lain, ibu seorang cahaya mata itu kembali mengubat rindu peminat dengan single Balas Balik yang muzik videonya dipertontonkan secara rasmi kepada umum, semalam.
Lagu ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak itu kini boleh diperdengarkan di semua platform digital.










