Persoal jihad? Mereka lalui fasa sebulan atas bot, makan apa adanya - Umie Aida - Utusan Malaysia

Persoal jihad? Mereka lalui fasa sebulan atas bot, makan apa adanya – Umie Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Umie Aida, menegaskan penyertaan golongan wanita dalam misi kemanusiaan ke Gaza seharusnya tidak menjadi bahan pertikaian mana-mana pihak.

Menurut Umie, atau Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, penyertaan beberapa selebriti tanah air dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bukan sahaja memperlihatkan keberanian, malah membuktikan mereka memiliki ketabahan luar biasa yang tidak dimiliki semua orang.

“Ada pihak yang mempertikaikan mengapa perempuan sibuk nak berjihad, sebenarnya terpulanglah kepada anda, jika anda tidak mahu berjihad, sudah. Siapa kita yang sibuk-sibuk mahu mempertikai? Sepatutnya kita bersatu,” katanya.

Umie ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri Majlis Solat Hajat dan Qunut Nazilah untuk aktivis GSF di Musolla Aisya, di sini, semalam.

Jelasnya lagi, setiap individu perlu memainkan peranan dalam menyokong usaha kemanusiaan ini walaupun tidak terlibat secara langsung.

“Jika kemampuan kita berdoa dan infaq, silakan lakukan itu. Tapi mereka yang melalui fasa di atas bot selama satu bulan dengan makan dan minum air apa adanya. Bukan semua orang boleh melakukan semua itu.

“Jadi kita yang di darat ini mainkan peranan berdoa, jika ada duit lebih berilah sumbangan.

“Misi itu berjaya atau tidak, semuanya urusan Allah. Tugas kita ialah berusaha memberikan harapan kepada rakyat Gaza meyakinkan mereka bahawa kemanusiaan ada lagi di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Umie turut berkongsi pengalaman peribadi bermusafir bersama tiga aktivis misi tersebut, yang turut dianggap sebagai adik sendiri iaitu Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana.

Menurut pelakon filem Dukun itu, pengalaman tersebut membuktikan bahawa ketiga-tiga wanita berkenaan memiliki sifat merendah diri, kecekalan luar biasa dan kemampuan menyesuaikan diri yang menjadi kualiti penting bagi seorang aktivis lapangan.

“Saya pernah bermusafir bersama mereka. Ketika itulah kita benar-benar mengenal seseorang. Mereka tidak memilih tempat duduk, tidak merungut tentang keadaan dan sangat rendah diri. Itulah sebabnya saya percaya Allah memilih mereka untuk misi ini.

“Jika saya sendiri yang berada di tempat mereka, mungkin saya tidak mampu bertahan. Cuaca panas, keadaan yang tidak selesa, saya pasti akan berasa ingin pulang.

“Tetapi mereka bertiga berbeza. Mereka menempuh pelayaran selama sebulan di atas bot kecil di Laut Mediterranean yang bergelora. Namun mereka boleh melalui detik-detik genting itu,” ujar beliau.

Umie turut menyifatkan Global Sumud Flotilla sebagai gerakan penting yang bertujuan mengejutkan dunia daripada lena terhadap isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Palestin.

“Global Sumud Frotilla ialah gerakan melibatkan satu dunia, mengejutkan kemanusiaan yang sedang ditidurkan.

“Mereka tidak membawa senjata, tetapi mereka membawa hati yang besar dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” tambahnya.

Terdahulu, lebih 30 selebriti dan kenalan rapat aktivis terbabit hadir pada Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin yang diadakan sebagai simbol solidariti mendoakan kesejahteraan 23 aktivis GSF Malaysia yang kini dilaporkan ditahan tentera Israel.

Turut hadir termasuklah pelakon Sweet Qismina, Fouziah Gous, Lufya Omar, Johan Raja Lawak dan Sharifah Shahirah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN