Persekutuan diarah semak pemberian hasil 40% kepada Sabah

Kerajaan Persekutuan diarah semak pemberian hasil 40% kepada Sabah

CELESTINA STUEL GALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Per­sekutuan perlu membuat se­ma­kan dan berbincang bersa­ma Kerajaan Negeri Sabah ber­hubung pemberian khas se­banyak 40 peratus kepada ne­geri itu bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula semalam.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid selepas membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Sekitar Jun 2022, SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan warta kerajaan persekutuan berkenaan pemberian tahunan sebanyak RM125.6 juta kepada Sabah atas dakwaan telah melanggar hak hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menerima semula 40 peratus.

Kerajaan Persekutuan juga didakwa telah gagal untuk memperbetulkan hak 40% milik Sabah bagi bayaran tahunan bagi tempoh dari 1974 hingga 2021 (dirujuk sebagai Tahun-Tahun yang Hilang) melalui keputusannya, tindakannya dan keingkarannya serta gagal mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan (perintah semakan kedua).

Selain Kerajaan Persekutuan, turut dinamakan sebagai responden ialah Kerajaan Negeri Sabah.

Hak 40 peratus di bawah Perkara 112C bermaksud satu pemberian tahunan sebanyak dua perlima daripada jumlah di mana hasil bersih yang diperoleh oleh Persekutuan dari Negeri Sabah melebihi hasil bersih yang sepatutnya diperolehi pada tahun 1963, di mana “hasil bersih” ialah hasil yang diperoleh oleh Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri Sabah mengenai penyerahan hasil tersebut.

Perkara 112D yang menyentuh mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak antara lain menyatakan apa-apa pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh tertentu.

Kajian itu juga perlu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan bagi negeri yang berkenaan dalam memastikan bahawa hasil Negeri cukup untuk membayar kos perkhidmatan Negeri yang ada pada masa kajian semula itu dengan apa-apa peruntukan yang ternyata munasabah bagi pembesaran perkhidmatan.

Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Celestina menyatakan persoalan utama yang perlu dijawab oleh mahkamah ialah sama ada apaka kesan terhadap perintah semakan kedua kiranya ia benar didapati idak mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Responden Pertama berhujah bahawa semakan sedang berjalan dari 1974 hingga 2021 tetapi tiada bukti menyokong dakwaan itu. Adalah sesuatu yang agak mengganggu fikiran selama 48 tahun, selepas permohonan ini dibawa (ke mahkamah) buat kali pertama, bukti yang dibawa oleh responen pertama afidavit atau penyataan.

“Sekiranya benar (terdapat semakan), elemen-elemen berikut mesti dibuktikan di mahkamah iaitu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk semakan, tempoh terlibat, persetujuan yang diperlukan untuk pemberian bagi tempoh itu, pengubahsuaian 40% hak dan jumlah yang diperlukan bagi membuat hak 40% di bawah Perintah Yang DiPertuan Agong.

“Setelah mempertimbangkan perkara di atas dan alasan-alasan lain, Mahkamah ini berpendapat bahawa pemohon (SLS) telah membuktikan bahawa perintah semakan kedua oleh kedua-dua kerajaan untuk mempertimbangkan dan membuat pemberian khas kepada Negeri Sabah adalah tidak sah dan ultra vires (melangkaui bidang kuasa),”kata hakim itu.

Hakim Celestina juga menyatakan kegagalan Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran hak sebanyak 40 peratus menyebabkan Sabah dan rakyatnya menderita akibat kerosakan awam.

“Banjir terkini adalah peringatan nyata akan hal ini, keadaan jalan, pelajar berjalan berkaki ayam ke sekolah. Saya bersetuju dengan hujah pemohon bahawa hak 40% adalah untuk membiayai perkhidmatan negeri. Hakikatnya ia menyatakan pemberian dalam jumlah sama setiap tahun dua perlima, tafsiran ini konsisten seperti yang dibuktikan oleh sejarah dan asas perlembagaan,” kata Hakim Celestina.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Katanya, keputusan mahkamah menegaskan bahawa hak Sabah bukan janji politik sebaliknya kewajiban yang mesti dipenuhi secara jujur, telus dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, keputusan itu menekankan jaminan hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah detik penting, bukan sahaja untuk golongan peguam tetapi untuk setiap rakyat Sabah yang percaya pada keadilan, perkongsian, dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Melangkah ke hadapan, adalah harapan saya agar keputusan ini membuka lembaran baharu antara Sabah dan Putrajaya dalam semangat hormat-menghormati dan dialog membina, dipandu semangat perpaduan yang membina Persekutuan kita ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson Wences Angang berkata, keputusan itu harus menjadi isyarat jelas kepada Putrajaya untuk menunaikan kewajipan kepada Sabah.

“Keputusan ini merupakan detik bersejarah dalam perjuangan menuntut pelaksanaan sebenar MA63.

“Kami turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati keputusan tersebut tanpa rayuan serta menjalankan rundingan secara telus dan adil demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×