Percepat baik pulih lubang benam di Lojing

Percepat baik pulih lubang benam di Lojing

KEADAAN jalan raya di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan yang rosak akibat lubang benam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengguna jalan raya menggesa pihak bertanggungjawab mempercepat kerja-kerja membaik pulih lubang benam di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini untuk memudahkan perjalanan mereka ke Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.

Sejak jalan itu ditutup dua minggu lalu, pengguna mendakwa mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk bercuti ke Cameron Highlands.

Seorang pengguna jalan raya dari Gua Musang, Mohd. Rustam Ismail, 34, terpaksa menggunakan jalan alternatif iaitu laluan Sungai Koyan-Ringlet untuk bercuti di Tanah Tinggi, Cameron Highlands dan terpaksa menempuh perjalanan jauh, lebih tiga jam untuk ke Cameron Highlands berbanding dua jam sekiranya melalui jalan Gua Musang-Lojing.

“Laluan Sungai Koyan agak gelap dan bahaya serta menjadi laluan gajah pada sebelah malam.

“Kami terpaksa memperuntukkan kos minyak lebih untuk bercuti kerana perlu melalui jalan yang agak jauh. Saya berharap pihak berwajib dapat segerakan proses membaiki jalan ini untuk kemudahan pengguna jalan raya,” katanya.

Seorang lagi pengguna jalan dari Pasir Mas, Sezairi Othman, 47, berkata, terpaksa menempuh perjalanan lebih tujuh jam untuk ke Cameron Highlands.

Katanya, selepas kejadian lu­­bang benam dan laluan ditutup, ia menyukarkan perjalanan penduduk negeri ini untuk ke Cameron Highlands dan Ipoh, Perak.

“Laluan Sungai Koyan ke Cameron Highlands agak sibuk kerana turut menjadi tumpuan kenderaan pengguna lain. Saya berharap jalan yang terbabit dengan kejadian lubang benam di Tanah Tinggi Lojing dapat dibaiki dengan segera,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiapkan reka bentuk untuk kerja-kerja membaik pulih laluan di Kilo­meter 7 Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke yang ditutup sepenuh­nya kepada semua kenderaan akibat kejadian lu­bang benam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN