Perbicaraan kes Muhammad Hilman bermula Mac 2026

Perbicaraan kes Muhammad Hilman bermula Mac 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 2 dan 3 Mac 2026 untuk perbicaraan kes melibatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham yang didakwa mengeluarkan kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

Tarikh itu ditetapkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

Peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh mengesahkan penerimaan dokumen berkenaan.

Muhammad Hilman, 36, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia didakwa membuat kenyataan di akaun TikTok alfah.channel.tv yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam serta boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kenyataan itu dibuat ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu, yang diadakan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.

Kenyataan tersebut kemudiannya dilihat dan didengar oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Menara KPJ, No. 238, Jalan Tun Razak, di sini pada 2.09 petang, 30 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Muhammad Rafique berkata, anak guamnya bersedia untuk dibicarakan dan tidak bercadang untuk membatalkan pertuduhan atau menghantar sebarang representasi kepada pendakwaan.

“Jika dilihat pada pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang kononnya mendakwa anak guam saya menimbulkan keresahan awam, ia sebenarnya tidak berasas.

“Kenyataan beliau hanyalah mempertahankan hak rakyat dan anak muda Malaysia yang ditahan secara tidak sah di bawah undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN