IPOH: Ketua Jurulatih Perak, Syamsul Mohd Saad menuntut komitmen tinggi daripada setiap pemain apabila menentang Armed Forces FC (ATM) dalam perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Mindef, Kuala Lumpur esok.
Ini kerana bagi jurulatih itu, pasukan ATM adalah antara pasukan yang paling konsisten dalam saingan liga 16 pasukan itu.
Menurutnya, walaupun dibarisi keseluruhan pemain tempatan, rekod tanpa kalah ATM sehingga kini menunjukkan pasukan itu mempunyai kekuatan yang seimbang dari aspek serangan dan bertahan.
“Rekod jaringan sebanyak 16 gol dan bolos hanya enam kali adalah bukti kekuatan pasukan ATM setakat ini. Kami sedar dari awal bahawa ATM adalah lawan yang tidak boleh dipandang mudah.
“Mereka sangat disiplin dalam melaksanakan strategi pasukan. Oleh yang demikian, pemain kena beri komitmen serta fokus yang tinggi jika tidak mahu menerima kekalahan,” katanya.
Apa yang pasti, pertembungan antara dua pasukan yang berada dalam kelompok atas carta liga pasti sengit.
Menurut Syamsul, untuk itu pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut.
“Sedikit kesilapan akan membawa padah kepada pasukan, ” katanya.
Perak dan ATM ketika ini menduduki tangga kedua dan ketiga liga serta dipisahkan satu mata sahaja.
Perak mengutip 17 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Selangor FC II. – UTUSAN










