IPOH: Kerajaan negeri menggerakkan semua jabatan dan agensi keselamatan ke kawasan terjejas banjir bagi mempercepat operasi pemindahan penduduk serta melancarkan usaha menyelamat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, sebanyak 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi digerakkan ke kawasan terjejas khususnya di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Beliau berkata, aset dan kenderaan berkenaan merangkumi 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz, lapan ambulans, 12 kenderaan pacuan empat roda dan 13 khemah, selain pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih.
“Kerajaan negeri telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mulai pukul 9.30 malam tadi susulan situasi banjir yang semakin buruk terutama di LMS dan Manjung.
“Serentak dengan itu, semua jabatan dan agensi keselamatan digerakkan ke kawasan terjejas bagi melaksanakan operasi menyelamat, menyalurkan bantuan awal dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terjamin.
“Tindakan pantas itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh.
“Setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 22 PPS beroperasi iaitu 19 di LMS serta tiga di Manjung yang menempatkan 2,171 mangsa daripada 759 keluarga,” katanya.-UTUSAN










