BERTAMBAH ramai penonton drama tempatan sekarang ini yang bersuara di media sosial tentang jalan cerita drama televisyen kita yang disifatkan berulang dan tidak berkembang.
Ada benarnya perkara itu. Realitinya, memang kebanyakan drama yang dipertontonkan berulang kali memaparkan isu curang, penyondol, cinta, rebut harta dan sebagainya.
Hakikatnya, pelakon pun sudah ramai yang buka mata tentang isu ini. Ini kerana ramai juga muak dan mula menolak watak dan jalan cerita yang sama.
Tidak ketinggalan, pengarah tersohor, Suhaimi Lua juga berpandangan perubahan perlu dilakukan agar cerita drama yang dipertontonkan tidak stagnant malah berkembang.
Pada Suhaimi kenapa isu cerita drama berulang ini tidak pernah selesai?
Isu ini sudah lama. Sebenarnya penonton harus memainkan peranan kerana mereka yang membuat pilihan cerita yang bagaimana yang mereka mahukan stesen televisyen sajikan.
Stesen televisyen bagaimana? Bukankah mereka ada kuasa untuk menetapkan jalan cerita?
Kita tidak boleh salahkan stesen televisyen kerana mereka bergantung kepada jumlah tontonan untuk menarik pengiklan. Drama dengan jalan cerita yang ramai peminat itulah yang mendatangkan keuntungan kepada mereka. Kita harus ingat iklan adalah antara pendapatan mereka.
Jadi, cerita tentang curang, penyondol, cinta ini memang menarik penonton yang ramai?
Tidak dinafikan, majoriti penonton lebih memilih untuk menonton drama yang memaparkan kisah cerai berai, curang, penyondol dan sebagainya. Sebab itu, kita tengok drama yang ditayangkan di stesen televisyen jalan ceritanya lebih kurang mengenai isu-isu tersebut kerana adanya sambutan.
Tapi, ramai juga penonton yang meluahkan mereka ‘muak’ dengan cerita-cerita begitu.
Ramai yang komen di media sosial, kononnya bosan menonton jalan cerita yang sama berulang kali. Tapi apabila mereka komen mengenai satu-satu drama itu maksudnya mereka tonton cerita itu.
Adakah Suhaimi akan terus akur menghasilkan jalan cerita sama untuk drama televisyen?
Sebagai pengarah dan pengkarya, terus terang saya katakan memang saya kurang berkenan cerita yang berulang ini disajikan kepada penonton. Keadaan ini jelas memperlihatkan genre drama yang dipertontonkan itu tidak berkembang dan tidak pelbagai.
Kalau bukan isu curang, percintaan. Memanglah realitinya cerita-cerita seperti ini mendapat sambutan ramai, tetapi tak akanlah sajiannya di televisyen itu sahaja.
Pada Suhaimi adakah isu ini berakhir dalam masa terdekat?
Saya pun kurang pasti. Mungkinlah ia berakhir apabila selera penonton berubah mengikut isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Tapi kalau ditanya kepada saya, tentunya saya lebih suka cerita yang dipertontonkan itu dipelbagaikan.
Kita hendak menarik orang menonton drama, jadi haruslah jalan ceritanya divariasikan.
Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana jumlah yang menonton televisyen semakin berkurang. Keadaan ini merisaukan sebenarnya.









