PUCHONG: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan penjenamaan semula enam pas perjalanan utama dengan nama baharu dalam bahasa Melayu bagi menyeragamkan identiti jenama Rapid serta memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor pengangkutan awam negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, pengumuman tersebut dibuat sempena acara Santai Bersama Rapid KL 2.0 yang berlangsung di pekarangan Stesen Taman Perindustrian Puchong.
Katanya, langkah itu merupakan strategi penting bagi memperkukuh identiti jenama Rapid agar lebih dekat di hati rakyat serta mudah difahami oleh pengguna pengangkutan awam di seluruh negara.
“Penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan visual, sebaliknya langkah strategik untuk menjenamakan semula produk Rapid dengan lebih mesra pengguna dan seiring hasrat kerajaan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan utama.
“Enam pas perjalanan yang dijenamakan semula ialah Rapid Kembara menggantikan MyTourist Pass, Rapid Kota menggantikan MyCity Pass, Rapid Mesra menggantikan Pas OKU Smile, Rapid Keluarga menggantikan Pas Keluarga Malaysia, Rapid Pelajar menggantikan MyRapid Pelajar dan MyRapid Warga Emas kini dikenali sebagai Rapid Emas,” katanya pada majlis Penjenamaan Semula Pas Perjalanan Rapid dan Pelancaran #Rakan Rapid, di sini semalam.

Tiga pas perjalanan iaitu Rapid Mesra, Rapid Pelajar dan Rapid Emas masih dikekalkan dalam bentuk kad fizikal seperti sedia ada manakala tiga lagi boleh menggunakan kad Touch n Go yang mereka ada.
“Bagi pemegang kad fizikal baharu, mereka akan menerima kad dengan reka bentuk dan nama baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan, pemilihan nama baharu itu mengambil kira keperluan pengguna tempatan selain menampilkan nilai budaya bahasa Melayu agar jenama Rapid mudah dikenali dan diingati oleh masyarakat pelbagai lapisan umur.
Katanya, nama baharu tersebut dipilih untuk memberi identiti seragam kepada semua pas perjalanan di bawah jenama Rapid, sekali gus memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam negara.
“Rapid kini bukan sekadar pengendali rel dan bas, tetapi satu jenama gaya hidup yang mencerminkan mobiliti bandar moden dan mampan,” katanya.
Amir berkata, usaha itu turut menjadi sebahagian daripada persediaan Prasarana menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) memandangkan pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memperkaya pengalaman pelancong domestik dan antarabangsa.
Sebagai contoh, Rapid Kembara diperkenalkan khusus untuk pelancong yang ingin menerokai bandar raya dengan mudah menggunakan sistem pengangkutan awam moden yang selamat, menjimatkan serta mesra alam.
“Rapid Kota pula mencerminkan mobiliti harian masyarakat yang dinamik. Semua nama baharu ini dipilih agar lebih dekat di hati rakyat dan mudah dikenali ramai,” jelasnya.
Selain penjenamaan semula, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran inisiatif baharu dikenali sebagai #RakanRapid yang bertujuan meraikan kepelbagaian pengguna yang terdiri daripada pelbagai kaum.
#RakanRapid menampilkan kumpulan karakter yang mencerminkan pelbagai latar belakang pengguna pengangkutan awam termasuk pelajar, pekerja profesional, pencinta budaya, keluarga, warga emas serta golongan berkeperluan khas.
Tambah Amir, setiap karakter mewakili personaliti pengguna sebenar yang menjadikan pengangkutan awam sebahagian daripada kehidupan harian mereka dan menonjolkan semangat keterangkuman dalam masyarakat bandar Malaysia.
“Melalui #RakanRapid, kami mahu rakyat berasa mereka bukan sekadar penumpang, tetapi menjadi sebahagian daripada komuniti besar Rapid yang berkongsi nilai mobiliti mampan dan kemajuan bandar sekali gus menjadikan pengangkutan awam sebahagian daripada gaya hidup warga kota yang progresif, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Menurutnya, konsep #RakanRapid itu akan dipromosikan melalui media sosial Rapid KL serta skrin paparan yang terdapat dalam sistem pengangkutan Rapid KL.
“Inisiatif diperkenalkan itu mencerminkan komitmen berterusan Prasarana dalam merealisasikan visinya sebagai pilihan utama mobiliti bandar yang progresif dan berdaya saing,” katanya.
Dalam masa sama, acara Santai Bersama Rapid KL 2.0 turut menampilkan bazar Seleksi Lokal yang menghimpunkan lebih 35 usahawan tempatan di bawah inisiatif Rapid KL Support Lokal.
Pengunjung turut berpeluang menebus subsidi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui pasar bergerak MyGrocer serta menikmati pelbagai aktiviti anjuran rakan strategik seperti Sea Makeup, Zus Coffee dan program Melodi.
Amir berkata, penglibatan peniaga tempatan serta rakan strategik menunjukkan kesungguhan Prasarana menyokong komuniti setempat dan memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai sektor ekonomi tempatan.
“Saya yakin dengan langkah penjenamaan semula dan pengenalan #RakanRapid akan menjadikan Rapid sinonim dengan gaya hidup masyarakat moden, selari aspirasi Malaysia menuju sistem pengangkutan awam bertaraf dunia,” katanya. -UTUSAN










