KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelakon dan model dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik gambar sijil perkahwinan palsu membabitkan dengan seorang kerabat diraja menerusi akaun TikTok miliknya, Februari lalu.
Tertuduh, Persana Avril Solunda, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Mengikut pertuduhan, Persana didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok melalui akaun ‘king.charles.ratu’ untuk memulakan penghantaran komunikasi palsu berbentuk satu video yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan seorang wanita bergelar Crown Princess Ratu Shana dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Bekas peserta Dewi Remaja itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini.
Terdahulu, peguam bela Datuk Noor Svetlana Noor Nordin memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan anak guamnya berhadapan terkanan perasaan akibat trauma dengan perkahwinan lalu.
Katanya, tertuduh pernah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian psikiatri namun pada ketika itu disahkan waras serta layak dibicarakan.
“Anak guam saya masih mempunyai ibu bapa namun mereka telah bercerai ketika dia berusia 14 tahun. Beliau juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 19 tahun yang kini tidak dapat dikesan.
“Tertuduh kini insaf dan memohon maaf kepada semua pihak atas perbuatannya. Kesalahan ini dilakukan tanpa berfikir panjang akibat tekanan hidup. Beliau kini telah memeluk Islam dan berhasrat untuk berubah menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan tersebut adalah serius kerana menyentuh institusi diraja dan melibatkan kepentingan awam.-UTUSAN









