Penganjur, aktivis wanita GSF terima layanan keras di penjara Ketziot

Penganjur, aktivis wanita GSF terima layanan keras di penjara Ketziot

MUHAMMAD NADIR AL-NURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur misi Global Sumud Flotilla (GSF), aktivis wanita serta tahanan berketurunan Arab dilaporkan menjadi kumpulan yang menerima layanan paling keras dan kejam daripada tentera Zionis ketika ditahan di Penjara Ketziot.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, maklumat itu dikongsikan oleh peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) kepada pasukan GSF.

Nadir berkata, dua aktivis wanita masing-masing dari Sweden dan Sepanyol turut menjadi mangsa penderaan apabila diseret dan dipaksa bergambar sambil memegang bendera Israel.

“Dalam tempoh 24 jam pertama selepas ditahan, kebanyakan aktivis tidak mendapat sebarang wakil undang-undang atau perlindungan diplomatik.

“Setakat ini, Adalah hanya berjaya menemui kira-kira 300 daripada 462 tahanan, manakala sebahagian lagi dipercayai telah dihantar pulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nadir berkata, seramai 328 sukarelawan GSF masih ditahan oleh tentera Zionis, manakala 134 lagi telah dibebaskan daripada keseluruhan 462 aktivis yang terlibat dalam misi kemanusiaan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 34 aktivis kini melancarkan mogok lapar, termasuk seorang yang memohon agar makanannya diberikan kepada penduduk Gaza.

“Seorang lagi aktivis nekad meneruskan mogok lapar dan dahaga sehingga semua penduduk Gaza yang memerlukan ubat-ubatan mendapat rawatan sewajarnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata semangat juang sukarelawan GSF kekal tinggi meskipun mereka diseksa dan ditekan oleh tentera Israel.

“Walau apapun yang berlaku, bagi mereka yang paling penting ialah Palestin dan Gaza.

“Doakan mereka yang masih di dalam penjara. Selepas ini, kita akan terus mendesak di hadapan kedutaan negara-negara yang gagal mempertahankan peserta misi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN