BALING: Inisiatif Bantuan Madani RON95 (BUDI95) di kawasan luar bandar dilihat berjalan lancar dengan majoriti rakyat berpuas hati setelah dapat menikmati harga minyak itu pada kadar subsidi seperti diumumkan kerajaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa stesen minyak di daerah ini mendapati orang ramai tidak menghadapi masalah besar ketika mengisi minyak menggunakan kemudahan tersebut.
Seorang penduduk, Yusuf Ismail, 56, berkata, dia bersyukur dengan inisiatif kerajaan yang membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama bagi golongan berpendapatan rendah di kampung sepertinya.
“Saya tak tahu sangat tentang BUDI95, saya datang mengisi minyak dengan cara biasa tetapi pekerja di pam minyak bertanyakan MyKad dan menerangkan boleh dapat subsidi minyak jika menggunakan kad pengenalan.
“Rupanya mudah sahaja, kita semak kelayakan guna MyKad kemudian bayar sama ada secara tunai atau guna kad debit. Kalau tidak mahir pekerja yang ada sedia membantu,” katanya yang bekerja kampung.
Meskipun berjalan lancar, ada beberapa aduan kecil antaranya pemegang MyKad tidak menyedari cip kad pengenalan mereka sudah rosak atau ada yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Letchumi, 40-an berkata, dia sedih kerana tidak dapat menikmati subsidi di bawah BUDI95 buat masa ini disebabkan MyKad miliknya tidak dapat diimbas.
“Saya perlu perbaharui semula MyKad sementara MyKad suami pula masih dalam proses untuk mendapatkan yang baharu kerana hilang baru-baru ini. Jadi kami terpaksa bersabar buat sementara waktu sebelum pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara untuk buat MyKad baharu,” katanya.
Hamdan Ramli, 47, pula berkata, BUDI95 merupakan rezeki buat semua dan ternyata mampu meringankan beban mereka yang kini terbeban akibat kos sara hidup. – UTUSAN










