KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ dijangka memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu pendidikan dan kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut merupakan elemen penting yang menjadi fokus sebagai asas pembangunan negara.
“Kalau kita melihat, tumpuan kerajaan sentiasa kepada pendidikan dan kesihatan. Dua-dua benda itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan di Parlimen Jumaat ini dan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat serta mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen.
Belanjawan kali ini, yang adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dijangka memberi tumpuan kepada reformasi fiskal, pelaburan strategik dalam infrastruktur, dan kesinambungan agenda subsidi bersasar.
Fadillah turut menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek-projek kritikal yang menyentuh isu banjir, bekalan air, tenaga bagi membantu penduduk di Sarawak.
Malah, beliau turut meyakini peruntukan untuk Sarawak kali ini akan ditingkatkan.
“Tumpuan kali ini adalah lebih kepada untuk membantu rakyat kita. Projek-projek yang kritikal, masalah banjir, masalah bekalan air, tenaga kepada keseluruhan masyarakat kita, sokongan-sokongan kepada mereka, kumpulan-kumpulan rentan, itu akan menjadi tumpuan saya kira daripada kerajaan,” katanya.
Fadillah turut menekankan keperluan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pendekatan yang bersasar dan berkesan.
“Itu juga yang saya harapkan, supaya dapat mengurangkan kos kehidupan rakyat kita, bagaimana kita nak bantu dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ini. Dunia yang tidak menentu, ini yang menjadi tumpuan. Saya harapkan begitulah,” katanya.-UTUSAN










