SABREE Fadzil pernah diangkat antara aktor paling popular pada era 80-an.
Berbekalkan rupa tampan dan keperibadian yang menyenangkan, Sabree menjadi kegilaan peminat wanita selepas kemunculan menerusi filem pertamanya, Sayang pada 1987.
Bakat lakonan beliau semakin diiktiraf menerusi beberapa filem antaranya Wira Angkasa pada 1987, Antara Dua Hati dan Pelumba Malam (1989).
Aktor ini bagaimanapun tidak membenarkan dirinya hanyut dengan populariti. Sabree melawan arus dunia glamor, tidak berubah sikap dan kekal merendah diri.
Bahkan, anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia 1987 dan Pelakon Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 1988 yang dipegang tidak sedikit mengubah dirinya yang sejak dulu sentiasa ‘membumi’.
“Saya dikenali selepas filem Sayang.Tak sangka hidup saya berubah sekelip mata, daripada seorang kru produksi kemudiannya menjadi pelakon.
“Tapi, walaupun dulu ramai yang kenal, saya tetap Sabree Fadzil yang sama, yang berniaga di kaki lima, naik bas seperti orang biasa,” kongsinya.
Sabree mengakui mengalami kejutan budaya awal kerjaya lakonannya dulu disebabkan dalam sekelip mata muncul ramai peminat wanita mengikuti perkembangannya.
“Bayangkan, seumur hidup saya sebelum itu tidak pernah terima surat yang banyaknya, sampai tiga guni, dilonggokkan di rumah saya di Gombak.
“Dulu, itulah cara peminat berkomunikasi dengan artis. Bermacam-macam jenis surat saya terima, kebanyakkannya disembur wangian. Yang paling luar biasa, surat yang disertakan duit RM50,” katanya.
Dalam masa sama, Sabree berkongsi pengalaman cemas gara-gara tindakan peminat perempuan dan artis popular yang muncul depan rumahnya untuk bertemu beliau.
“Artis popular itu, tidak perlu saya sebutkan siapa dia. Saya dulu akrab dengan ramai artis perempuan.
“Tapi artis popular yang sampai datang ke rumah ini mungkinlah menyimpan perasaan kepada saya. Sanggup datang untuk mengajak saya menemaninya keluar,” jelasnya.
BERUNDUR DARI INDONESIA
Selepas kejayaan filem Sayang, dan Wira Angkasa, Sabree ditawarkan mencuba nasib di Indonesia. Ternyata percubaan tidak sia-sia. Beliau ditawarkan peluang menjayakan 10 buah filem di negara seberang.
Sabree melakonkan tiga filem iaitu Pernikahan Berdarah, Pendekar Lembah Kuning dan Sumpah Keramat dengan bayaran mencecah RM30,000.
Namun, ramai pihak tertanya-tanya punca yang membuatkan beliau menolak baki tujuh filem yang sepatutnya beliau lakonkan di Indonesia.
“Saya tolak kerana merasakan kejayaan saya di Indonesia mulai tidak disenangi pihak tertentu di sana.
“Saya tidak mahu menerima nasib yang sama seperti beberapa pelakon Indonesia, yang dijatuhkan dengan sihir disebabkan hasad dengki dan iri hati orang lain.
“Kerana itu saya mengundur diri dari dunia perfileman di sana dan kembali berlakon di Malaysia,” kongsinya.
Sabree kemudian ditawarkan membintangi filem Pelumba Malam yang menggandingkan beliau dengan Noreen Nor, Erma Fatima, Mustapha Kamal, Edika Yusof, Sidi Oraza dan ramai lagi.
KASANOVA, KAKI PEREMPUAN?
HUBUNGAN baik dengan ramai selebriti wanita mengakibatkan Sabree, ketika zaman kegemilangannya dilabel ‘kaki perempuan’ dan kasanova.
Kata Sabree, beliau hairan apabila dilabelkan sedemikian sedangkan beliau bukanlah kaya apatah lagi bermain kayu tiga.
“Memanglah saya ramai berkawan dengan artis perempuan, tetapi saya bukan ‘kaki perempuan’, jauh sekali kasanova seperti dikatakan dulu.
“Mungkin ramai yang salah anggap disebabkan saya berkawan dengan ramai pelakon dan model.
“Saya ini pula tidak layak menjadi playboy kerana bukan lelaki kaya yang hidup mewah, pandu kereta pun jenis yang biasa sahaja.
“Itulah asam garam dunia glamor. Saya ikut pesanan pelakon lama yang menasihatkan agar jangan tunduk kepada gosip dan spekulasi,” ujarnya.
Bercerita tentang gosip paling melucukan mengenai dirinya, Sabree memaklumkan dakwaan melanggar bekas isteri yang juga pelakon, Aznah Hamid antara yang paling menggelikan hati.
“Kami masih suami isteri ketika cerita itu ditulis dalam media. Kisah itu juga yang dipaparkan di muka depan akhbar. Tak sangka pula saya dituduh melanggar bekas isteri.
“Sedangkan saya tidak pernah melanggar Aznah. Hal sebenar yang berlaku adalah dia terjatuh kerana cuba menghalang kereta saya yang ketika itu beredar meninggalkannya. Tidak tergamak saya melanggar dia sampai cedera.
“Saya pada masa itu terpaksa hadir ke balai polis untuk membuat laporan balas terhadap tuduhan yang dibuat terhadap saya. Sampai sekarang saya anggap gosip itu antara paling melucukan apabila dikenang semula,” jelasnya.
Sabree mendirikan rumah tangga bersama Aznah pada tahun 1981. Perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila keduanya memutuskan untuk bercerai pada 1991.
LATAR BELAKANG
Sabree dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 1963. Ayah beliau yang juga anggota polis sering membawa keluarga berpindah dan menetap di beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Perak.
Namun, Sabree diletakkan di bawah jagaan bapanya di Perak selepas orang tuanya bercerai ketika beliau berusia lapan tahun.
Beliau sebenarnya menyimpan minat terhadap dunia lakonan sejak kanak-kanak lagi. Katanya, beliau antara pelajar yang sering dipilih menjayakan pementasan di sekolah.
Selain kesenian, beliau juga aktif bersukan dan pernah mewakili sekolah dalam acara larian.
“Bapa saya kalau boleh mahu semua anak-anaknya berpelajaran tinggi, menyambung pengajian sampai menara gading.
Namun saya pula tidak berminat ke arah itu. Bahkan, ketika masih bersekolah, saya sudah mula melakukan kerja-kerja separuh masa, antaranya sebagai pembantu katering di Ipoh, Perak.
“Keseronokan memiliki wang sendiri mempengaruhi keputusan saya untuk terus bekerja sebagai pelayan di sebuah coffee house di Ipoh selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia,” ceritanya.
Selepas dua tahun bekerja di coffee house tersebut, Sabree mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama ibunya. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun.
Di ibu kota, Sabree bekerja sebagai pelayan restoran selain menjual produk penjagaan wajah bersama penyanyi Zamree di kaki lima sekitar hentian bas Klang pada tahun 1981.
Langkah Sabree dalam bidang perfileman pula bermula selepas beliau menghadiri temu duga untuk bekerja di bawah syarikat produksi milik Allahyarham Hussein Abu Hassan.
“Sebelum menjadi pelakon, saya berkerja sebagai kru produksi di bawah seliaan Suhan Panchacharam. Saya pernah juga bekerja dengan pelakon, A.R Badul untuk filem Jejaka Perasan.
“Tidak lama selepas itu barulah saya terjun ke dalam bidang lakonan menerusi filem Sayang, digandingkan dengan Raja Ema dan Datuk Amy Search,” kongsinya.