“Pemandu itu akan memberhentikan kenderaannya, dia pasti nampak kereta kita.”
Demikian ayat terakhir yang diucapkan pelakon legenda Hollywood, James Dean beberapa saat sebelum kereta yang dipandunya, Porsche 550 Spyder bertembung dengan sebuah Ford Tudor Sedan di persimpangan laluan 446 berdekatan Cholame, California.
Tragedi malang itu berlaku ketika pelakon itu dan kenalannya, Rudolf Wutherich dalam perjalanan untuk menyaksikan perlumbaan kereta yang berlangsung di bandar Salinas, California.
Insiden tragis yang berlaku pukul 5.45 petang, 30 September 1955 itu mengorbankan aktor tersebut yang waktu itu berusia 24 tahun.
Dean disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Paso Robles War Memorial Hospital kira-kira pukul 6.20 petang.
Laporan autopsi menyebut retak tulang di bahagian leher menjadi punca utama kematian aktor itu selain kecederaan kronik dalaman akibat kemalangan berkenaan.
Kematian Dean mengejutkan dunia Hollywood. Beliau bagaimanapun meninggalkan legasi yang sangat besar meskipun hanya sempat melakonkan tiga filem iaitu Rebel Without a Cause, East of Eden dan Giant.
DETIK AKHIR
Wutherich, yang merupakan mekanik berpengalaman di Porsche, berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1955.
Beliau mempunyai kepakaran meluas berkaitan Porche 550 Spyder dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal mekanikal kereta itu bagi tujuan perlumbaan.
Wutherich mula mengenali Dean pada tahun 1955. Keduanya berjumpa dalam sebuah acara lumba kereta di Bakersfield, California.
Hubungan mereka bertukar akrab. Malah pada September tahun yang sama, Wutherich telah menjual satu daripada lima Porche 550 Spyder yang baru dibawa masuk ke Amerika Syarikat ketika itu.
Dean mendaftarkan kenderaan itu dalam perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Oktober, tahun itu.
Keduanya, yang ditemani rakan Dean, Bill Hickman yang menaiki kenderaan berlainan, bertolak dari Los Angeles satu hari lebih awal, kira-kira pukul 2 petang menuju ke Salinas, California.
Gara-gara memandu melebihi kelajuan dihadkan, Dean disaman polis ketika berada di Bakersfield.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti rehat di Blackwell Corner sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Salinas.
Kira-kira pukul 5.45 petang kereta dipandu Dean dirempuh sebuah Ford Tudor Sedan dipandu Donald Turnupseed yang datang dari arah bertentangan.
Siasatan mendapati Donald sempat menekan brek kira-kira 36 meter sebelum bertembung dengan kereta dinaiki Dean dan Wutherich.
Wutherich mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital untuk tempoh yang agak lama. Dean bagaimanapun meninggal dunia ketika sampai di hospital.
DONALD TURNUPSEED
“Saya tidak nampak kereta mereka, malah pandangan saya terganggu disebabkan cahaya matahari.”
Demikian kenyataan yang diberikan Donald ketika disiasat polis berhubung kemalangan tersebut.
Individu tersebut, yang ketika itu berusia 24 tahun terlepas daripada sebarang dakwaan berhubung kemalangan itu.
Malah nahas tersebut diklasifikasikan sebagai kemalangan yang tidak dapat dielakkan.
Donald selepas memberi kenyataan kepada polis, mengelak bercakap kepada media mengenai kemalangan tersebut.
Beliau meninggal dunia pada 1995 akibat kanser, meninggalkan seorang balu, empat anak dan lima cucu.