IPOH: Seorang pemandu van penghantaran didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan pada tujuh kenderaan pada Ahad lalu.
Tertuduh, R. Vikneshwaran, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah.
Anis Hanini turut memerintahkan Vikneshwaran dikenakan hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan butiran sabitan tertuduh dinyatakan dalam mana-mana lesen memandu milik lelaki itu.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020, tertuduh yang memandu van jenis Toyota Hiace itu didakwa memandu kenderaan tersebut di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh dalam daerah Kinta pada pukul 2.54 pagi, 5 Oktober 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd. Kohar manakala bapa kepada dua anak itu tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran Stesen KTM Ipoh mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang seolah-olah dirempuh dengan kuat. – UTUSAN