Pemandu lori warga Indonesia rempuh plaza tol diburu

Pemandu lori warga Indonesia rempuh plaza tol diburu

Keadaan lori sampah yang merempuh Plaza Tol Puchong Selatan, Le­buhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Bandar Bukit Puchong selepas ditinggalkan pemandu warga Indonesia, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu warga Indonesia yang melarikan diri selepas lori sampah dipandunya merempuh Plaza Tol Puchong Selatan, Le­buhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Bandar Bukit Puchong dekat sini, kelmarin sedang diburu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah lori Isuzu seberat 10 tan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lori berkenaan dari arah Putrajaya menghala Bukit Puchong.

Katanya, apabila menghampiri plaza tol berkenaan, ia dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok yang berada di tempat kejadian.

“Akibat itu, kelindan lori yang merupakan lelaki warga Bangladesh berumur 42 tahun mengalami kecederaan di muka.

“Pemandu lori berkenaan telah melarikan diri dan usaha mengesan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Kelmarin, tular rakaman video memaparkan sebuah lori sampah merempuh plaza tol.

Wan Azlan berkata, pemilik lori adalah warga tempatan dan dia menggajikan warga asing untuk memandu lori tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN