KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan ASEAN-Korea 2026-2030 menyaksikan rantau Asia Tenggara dan Seoul bersedia tingkat kerjasama strategik yang akan menjadi landasan utama dalam menangani cabaran ekonomi global dan perubahan dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-25 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berkata, hubungan antara ASEAN dan Seoul yang sudah terjalin lebih tiga dekad, kini berada pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif berasaskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan manfaat bersama.
“Kita bertemu di tengah-tengah cabaran global yang semakin mendalam, seperti gangguan teknologi, persaingan strategik, dan perpecahan dalam rantaian bekalan.
“Semua ini memberi tekanan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, sekali gus mentakrifkan semula landskap ekonomi dunia.
“Dalam keadaan ini, ASEAN dan Korea yakin kemajuan hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat,” katanya.
Anwar berkata, pada 2024, perdagangan dua hala antara ASEAN dan Korea Selatan melebihi AS$200 bilion sekali gus mencerminkan kekuatan serta daya tahan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
“Di sebalik angka ini, ASEAN menawarkan peluang besar dalam pelbagai sektor, didorong oleh tenaga muda dan kepelbagaian lebih 600 juta penduduk, sementara Korea Selatan membawa inovasi dan teknologi yang terus memberi inspirasi global. Bersama, kita dapat memperkukuh daya tahan serantau dan menjana peluang baharu untuk semua,” katanya.
Pelan Tindakan ASEAN-Korea 2026-2030 akan menjadi petunjuk utama dalam merangka hala tuju kerjasama masa depan, namun kejayaannya amat bergantung kepada komitmen bersama untuk melaksanakannya secara berkesan.
“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN yang pesat dengan kekuatan inovasi Korea, kita dapat mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif, pasaran terbuka, dan rantaian bekalan yang stabil.
“Kita perlu memastikan modal insan kita bersedia menghadapi cabaran masa depan, mampu menjadi pemimpin membawa perubahan, usahawan, dan pembina kemakmuran bersama,” katanya.
Kerangka ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) perlu mempercepatkan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan ASEAN+3 bagi kecemasan kesihatan awam sebagai langkah bersiap siaga menghadapi sebarang krisis kesihatan masa hadapan.
Katanya, langkah tersebut penting dalam memastikan rantau ini mempunyai keupayaan tindak balas pantas sebarang wabak dan bencana kesihatan serta mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat seluruh Asia Timur.
Anwar berkata, negara dalam kerangka ASEAN+3 perlu mempertingkatkan usaha memperkukuh penglibatan dan kerjasama serantau yang menjadi kunci utama kepada kestabilan dan keamanan Asia Timur.
“Hampir tiga dekad berlalu, kerangka ASEAN+3 kekal sebagai salah satu rangka kerja dialog dan kerjasama yang paling utuh. Ditubuhkan selepas krisis kewangan Asia pada 1996, ASEAN+3 berjaya mengharungi pelbagai krisis lain seperti krisis kewangan 2008 dan terbaharu, pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN










