Kadangkala ada sebab kenapa orang kata, sila cermin diri sendiri. Bukan sebab hendak menyindir sangat pun, tetapi adakala memang kita sendiri kena belajar muhasabah diri, melihat, menilai apa kelemahan dan kekurangan kita.
Bukan apa, takut nanti diri sendiri menanggung malu kerana kita rasa sudah bagus, tetapi di mata orang lain kita masih belum capai kedudukan itu.
Ini yang terjadi kepada seorang pelakon tempatan. Cik Bunga tidak mahu sebut namalah sebab takut dia terasa pula. Cuma harapnya, kisah ini dapat dijadikan pengajaran ramai.
Cik Bunga ada dengar, pelakon itu kononnya dapat tawaran untuk sebuah drama. Okeylah bukan? Tetapi apa yang menjadi isunya, penerbit pun terbeliak mata apabila si pelakon ini meminta bayaran lebih
RM100,000 walaupun pengalaman berlakon dan tahap lakonannya biasa-biasa sahaja.
Lantas, penerbit yang berasa hairan itu pun tertanyalah, ‘awak siapa?’
Pertanyaan itu bukanlah dilayangkan di depan muka pelakon itu, cuma apabila dia berbual dengan orang belakang tabir, penerbit itu jadi tertanya-tanya jugalah. Apakah dia yang salah beri tawaran atau bagaimana?
Hujung cerita, Cik Bunga difahamkan, penerbit itu tidak jadi ambil pelakon itu dalam naskhah dramanya. Mungkin rezeki orang lainlah untuk memegang watak utama dalam drama itu.
Pokok pangkal dalam kisah ini, kalau pengalaman dan bakat itu belum sampai tahap sudah menang anugerah, janganlah terlalu berangan sangat letak harga tinggi. Tidak padan, orang kata.
Kita faham, berlakon itu sumber pendapatan pelakon, tetapi janganlah letak harga macam tidak rasional. Untuk seminggu punya kerja sampai RM100,000 minta gaji dibayar, kalau Cik Bunga jadi penerbit itu pun Cik Bunga cakap selamat tinggal.










