Pelajar MRSM Merbok jalani PdPR susulan 22 kes influenza

Pelajar MRSM Merbok jalani PdPR susulan 22 kes influenza

MANSOR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penularan kluster influenza di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Kuala Muda terkawal dengan hanya 22 daripada 302 pelajar yang mengalami simptom disahkan positif jangkitan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihak pengurusan institusi pendidikan itu mengambil tindakan awal termasuk membenarkan pelajar pulang bagi mengekang penularan.

“Hanya 22 sahaja disahkan positif dan menerima rawatan di hospital tetapi mereka stabil, sementara pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar. 

“Kesemua pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kecuali pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Pelajar lain akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tambahnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bersama agensi berkaitan telah ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lanjut. 

“Salah satu faktor yang dikesan adalah para pelajar tidak memakai pelitup muka dan bergaul tanpa jarak sehingga mengakibatkan penularan jangkitan. Pihak terlibat turun padang dan memberi penjelasan dan maklumat seperti ini. 

“Mereka juga akan turun padang ke institusi pendidikan termasuk sekolah lain juga yang berpotensi berlaku jangkitan,” katanya. 

Kata beliau, orang ramai di negeri ini turut diingatkan supaya memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan, serta menjarakkan diri daripada rakan lain bagi mengelak jangkitan.

“Kami nasihatkan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil di sekolah atau tadika, kalau mempunyai simptom jangan benarkan mereka ke sekolah kerana influenza ini mudah menular,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN