Pelajar dituduh tikam pelajar perempuan diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Pelajar dituduh tikam pelajar perempuan diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Kitson Foong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan pelajar lelaki berusia 14 tahun yang dituduh membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama minggu lalu, menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Amira Sariaty Zainal selepas peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili tertuduh memohon agar tahap kesihatan mental anak guamnya dinilai oleh pakar perubatan.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Kitson Foong yang bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Menurut Kitson, permohonan tersebut dibuat atas dasar kepentingan tertuduh.

“Laporan psikiatri penting bagi menentukan sama ada tertuduh memahami prosiding dan pertuduhan yang dihadapi serta menilai tahap kewarasannya ketika kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang memperuntukkan prosedur bagi tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal dan membolehkan mahkamah meneliti tahap mental tertuduh sebelum meneruskan perbicaraan.

Kitson berkata, pemeriksaan itu juga bagi memastikan tertuduh tidak berisiko mencederakan diri sendiri selain dapat menerima rawatan sewajarnya.

“Pemeriksaan psikiatri diperlukan bagi menilai sama ada dia mampu membuat pengakuan dan memahami pertuduhan yang dihadapi.

“Paling penting, pemeriksaan itu juga bagi menentukan keadaan fikirannya ketika melakukan kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika pertuduhan dibacakan, remaja berkenaan kelihatan tenang namun banyak berdiam diri.

Tertuduh juga dilihat berdiri di luar kandang tertuduh dengan ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya sepanjang prosiding berlangsung.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa telah membunuh seorang pelajar perempuan di tandas pelajar perempuan di sekolah menengah Bandar Utama antara pukul 9.30 pagi hingga 10 pagi , 14 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh yang juga pelajar di sekolah sama dibawa masuk ke mahkamah melalui laluan khas bagi mengelak perhatian media.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 November.

Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolah dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan leher.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dilaporkan berkata hasil laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian disebabkan tikaman berulang kali di bahagian dada dan leher. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN