Pelajar diperiksa guna alat pengesan logam sebelum masuk sekolah - Utusan Malaysia

Pelajar diperiksa guna alat pengesan logam sebelum masuk sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekolah menengah di Bandar Utama di sini meningkatkan kawalan keselamatan dengan pemeriksaan menggunakan alat pengesanan logam di pintu masuk susulan kes tikam seorang pelajar perempuan, Selasa lalu.

Pemeriksaan tersebut dilakukan guru bagi memastikan tiada bahan terlarang atau berbahaya dibawa masuk oleh pelajar, sekali gus menjamin keselamatan semua warga sekolah.

Difahamkan, saringan dilakukan setiap pagi sebaik pelajar tiba termasuk pemeriksaan kepada beg pelajar.

Tindakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial bersama beberapa gambar memaparkan pelajar didakwa perlu menjalani pemeriksaan menggunakan alat pengesan logam.

“Dalam menyedia persekitaran sekolah yang lebih selamat, pihak sekolah (tempat berlakunya kejadian menyayat hati hingga menyebabkan kehilangan nyawa) menggunapakai metal detector (alat pengesan logam) dan melakukan saringan kepada anak-anak sebaik tiba di sekolah.

“Ini bertujuan bagi mengesan andai ada bahan terlarang yang dibawa ke sekolah. Jadi usahlah anak-anak ke sekolah nak bawa telefon atau vape (rokok elektronik),” katanya.

Perkongsian itu turut mendapat sokongan ramai yang menyifatkan ia sebagai langkah wajar bagi mengelak tragedi sama berulang namun turut mengakui ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak tidak membawa barang tidak sepatutnya ke sekolah.

Seorang pengguna akaun Threads bernama @nuratiqahlee8 menulis: respect to the school for being proactive (penghormatan kepada pihak sekolah kerana mengambil tindakan proaktif).

@jegha menulis: Tahniah cikgu-cikgu kerana berusaha sehabis baik untuk kesejahteraan dan keselamatan anak, namun perlu ada back up plan (pelan sokongan) untuk tugas ini.

“Mungkin boleh minta kerjasama (membantu melakukan pemeriksaan di pagar) dari pihak ibu bapa yang berkelapangan untuk volunteer (sukarela) secara bergilir? (kalau) pengawal keselamatan membuat saringan semua pelajar rasanya susah juga sebab pelajar ramai,” tulisnya.

Sementara itu, @hadi.a1181 berkata, ibu bapa perlu memantau anak di rumah kerana semua bermula dari rumah.

Pada Selasa lalu, negara dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa yang turut menggesa pihak berkaitan meningkatkan langkah keselamatan.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa cedera ditikam di bahagian badan dengan beberapa tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN