Pelaburan RM10 bilion perkukuh kerjasama bina masa depan digital berdaulat- PM

Pelaburan RM10 bilion perkukuh kerjasama bina masa depan digital berdaulat- PM

ANWAR Ibrahim semasa perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang, serta Pengarah Urusan YTL Power, Dato’ Yeoh Seok Hong di Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, Republik Korea.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan bernilai RM10 bilion yang diumumkan hasil kerjasama antara Malaysia, NVIDIA Corporation dan YTL Power diyakini mampu memperkukuh kerjasama strategik tiga pihak ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berasaskan tenaga hijau itu bukan sahaja menandakan keyakinan pelabur terhadap dasar Malaysia, malah menjadi tonggak utama transformasi negara menuju kedaulatan digital.

Katanya, pelaburan tersebut mencerminkan kesungguhan bersama memperkukuh kerjasama strategik tiga pihak ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat.

“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai antara negara peneraju AI menjelang 2030, bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sebagai pencipta nilai dan pemacu inovasi yang merancakkan ekonomi serta mensejahterakan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan penuh makna bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.

Pertemuan tersebut merupakan kali kedua antara Anwar dan Huang, selepas pertemuan di Putrajaya sebelum ini yang menyaksikan pengumuman rasmi pelaburan berkenaan.

Katanya, perbincangan kali ini turut menzahirkan kemajuan besar Malaysia dalam mengangkat agenda Sovereign AI, termasuk penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, pelancaran ILMU, serta kejayaan pembangunan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor, hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA.

“Membangunkan AI berdaulat adalah langkah penting untuk menjamin kedaulatan digital negara, membina ekosistem yang berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral,” katanya.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan yang dicapai, sambil menegaskan bahawa pelaburan ini akan mempercepatkan agenda AI Malaysia selaras dengan matlamat membina ekonomi Madani yang inklusif, beretika dan mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN