BATU GAJAH: Seorang lelaki warga Nepal maut selepas tersepit dalam mesin pengisar pasir dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Batu Gajah 3, Kampung Tersusun Seri Rahmat, di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, kejadian itu melibatkan mangsa berusia 36 tahun yang mengalami kecederaan parah.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 10.29 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba dimaklumkan bahawa mangsa tertarik ke dalam mesin pengisar yang tiba-tiba beroperasi secara automatik ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan untuk mengeluarkan bahan tersangkut,” katanya.
Menurut beliau, anggota bomba menjalankan kerja penyelamatan dengan membuka plat lantai mesin dan mendapati mayat mangsa bergulung serta terbelit pada mata pengisar.
“Dengan bantuan juruteknik kilang, mesin digerakkan secara manual bagi membolehkan mayat mangsa dikeluarkan sepenuhnya.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.50 tengah hari,” katanya. – UTUSAN