KOTA BHARU: Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berjanji akan memastikan siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013, lancar sekali gus dapat memberikan keadilan kepada keluarganya.
Perkara tersebut didedahkan oleh peguam mewakili keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris, Dr. Zulqarnain Lukman ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
“Pihak keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris amat berbesar hati dengan kesudian Peguam Negara dan pasukannya untuk berjumpa kami (peguam yang mewakili keluarga).
“Dalam perjumpaan ini, kami memohon supaya pihak Peguam Negara dapat mengkaji kes ini dengan lebih teliti supaya keadilan dapat diberikan kepada pihak keluarga Allahyarham,” katanya.
Zulqarnain memberitahu, pihaknya dimaklumkan siasatan masih lagi berjalan dan polis sedang merakamkan kenyataan saksi-saksi bagi membantu siasatan.
“Kami juga memaklumkan kepada pihak Peguam Negara bahawa ada saksi yang menghubungi pasukan peguam dan masih lagi belum diambil kenyataan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Dusuki menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan peguam mewakili keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima surat rasmi yang dihantar oleh peguam keluarga mangsa berhubung perkara itu.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan tergantung dalam tandas asrama sekolah, namun laporan bedah siasat ketika itu mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan pelajar itu sebenarnya dibunuh oleh individu yang masih belum dikenal pasti identitinya. – UTUSAN










