PDRM tingkat rondaan, kehadiran polis di kawasan sekolah

PDRM tingkat rondaan, kehadiran polis di kawasan sekolah

ANGGOTA polis mengawal keselamatan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan serta kehadiran polis di kawasan sekolah dalam usaha tindakan bersepadu menangani isu keselamatan di institusi pendidikan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu sebahagian usaha dalam menekankan aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.

Katanya, ini termasuk memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber.

“Antara fokus utama KDN ialah memperkukuh kempen kesedaran tentang keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada gejala buli, tekanan emosi, serta kemerosotan disiplin di sekolah.

Sehubungan itu, KDN menyatakan sokongan penuh terhadap langkah tegas dan berpandangan jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkenalkan dasar bagi mengehadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan.

Ini termasuk kandungan lucah serta unsur-unsur negatif dan berbahaya yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak di bawah umur (minor).

“KDN menyokong pendekatan menyeluruh yang melibatkan mempertingkat sistem sokongan kesihatan mental yang mudah diakses dan mesra belia di sekolah serta komuniti.

“Penguatkuasaan yang jelas dengan akibat yang konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital,” katanya.

Selain itu ialah pemantauan serta penyesuaian dasar secara berterusan agar langkah-langkah ini kekal relevan dengan perubahan teknologi.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk KPM, KKM, PIBG, NGO serta platform digital dipergiatkan selain pendidikan literasi digital yang mantap bagi membentuk pelajar yang beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya.

“Akauntabiliti platform serta keselamatan melalui reka bentuk (safety by design), supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur.

“Saya menegaskan bahawa isu keselamatan digital pelajar bukan semata-mata persoalan disiplin sekolah, tetapi satu tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.

“Langkah ini bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi masa depan generasi muda Malaysia agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan sejahtera secara mental serta digital, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN