KLANG: Rampasan sisa elektronik atau e-waste bernilai lebih RM4 bilion direkodkan dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari lalu, menjadikannya rampasan terbesar berbanding barangan terlarang lain di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan rampasan bernilai lebih RM6 bilion yang dilakukan pasukan berkenaan dalam tempoh sama.
Beliau berkata, rampasan itu membabitkan e-waste yang dibawa masuk ke negara ini untuk diproses secara haram, walaupun hanya 156 syarikat diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menguruskan sisa berkenaan.
“Tidak dibenarkan e-waste dari luar negara dibawa masuk, namun perkara ini berlaku. Polis akan terus mengambil langkah bagi mengekang kemasukan sisa tersebut dan tidak akan berkompromi,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-78 Pasukan Polis Marin, semalam.
Azmi turut mendedahkan modus operandi sindiket penyeludupan termasuk pemindahan barangan dari kapal ke bot kecil sebelum diseludup masuk melalui jeti serta pangkalan persendirian.
Terdahulu, beliau membacakan teks ucapan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail yang menyatakan Pasukan Polis Marin berjaya menyelesaikan 7,136 kes sehingga Selasa lalu dengan nilai rampasan RM491.1 juta. – UTUSAN










