KUALA LUMPUR: Fokus utama Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah memastikan gencatan senjata di Gaza terus dikekalkan serta pelaksanaan fasa pertama perjanjian yang dipersetujui berjalan sepenuhnya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, usaha mengekalkan keamanan di wilayah bergolak itu perlu diberi keutamaan sebelum mana-mana pihak memutuskan bentuk atau mekanisme misi keamanan yang bakal diwujudkan kelak.
“Buat masa ini, masih belum jelas bentuk pasukan yang akan diwujudkan serta dalam keadaan bagaimana ia akan beroperasi. Apa yang penting sekarang ialah memastikan gencatan senjata dikekalkan dan fasa pertama perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.
“PBB bersedia memainkan apa jua peranan yang akan ditentukan oleh pihak-pihak utama yang terlibat dalam proses ini,” katanya ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Guterres mengakui Majlis Keselamatan kini berdepan cabaran dari segi keabsahan dan keberkesanan kerana komposisi semasa tidak lagi mencerminkan realiti dunia hari ini.
“Kita mempunyai tiga ahli tetap dari Eropah iaitu Perancis, United Kingdom (UK) dan Russia tetapi hanya satu dari Asia dan tiada wakil dari Amerika Latin atau Afrika.
“Ini jelas menunjukkan Majlis Keselamatan tidak lagi mewakili dunia sebagaimana keadaannya hari ini.
“Sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada dua kerusi tetap bagi Afrika dan menambah bilangan wakil tetap dari Asia, selain menilai semula penggunaan kuasa veto yang sering menjadi penghalang kepada keberkesanan keputusan Majlis Keselamatan,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap dasar luar Malaysia yang disifatkan konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan negara mereka.
Katanya, Malaysia tidak mengamalkan dwi-standard dan sentiasa menjadi antara negara yang lantang menyuarakan keadilan untuk rakyat Palestin.-UTUSAN










