PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran kit ujian influenza sebelum membeli atau menggunakannya bagi memastikan produk tersebut berdaftar dan mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) berkata, semua kit ujian influenza yang dijual di pasaran wajib berdaftar dengan agensi itu demi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesanan penggunaannya.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui portal rasmi mdar.mda.gov.my dengan kit ujian kini boleh diperoleh di farmasi berlesen di seluruh negara.
“MDA mengingatkan orang ramai bahawa setiap kit ujian influenza yang dijual mesti berdaftar bagi memastikan ia selamat dan berkesan.
“Semua hospital, klinik serta fasiliti kesihatan awam dan swasta juga diwajibkan mendapatkan bekalan kit ujian influenza daripada pengilang, pengimport atau pengedar berdaftar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MDA berkata, semua organisasi berdaftar perlu memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi mengelakkan gangguan kepada operasi fasiliti kesihatan.
“Pada masa sama, profesional kesihatan dinasihatkan agar tidak mendapatkan kit ujian influenza melalui platform e-dagang, meskipun produk tersebut kelihatan sah atau berdaftar.
“Pembelian kit ujian influenza hendaklah dibuat terus di farmasi berlesen atau melalui platform dalam talian syarikat yang sah dan berdaftar bagi memastikan pematuhan piawaian,” katanya.
Bagi memastikan pematuhan, MDA akan menjalankan pemeriksaan mengejut di hospital kerajaan dan swasta serta farmasi untuk memastikan hanya kit berdaftar dijual dan digunakan.
Katanya, ketika ini berlaku kekurangan stok kit di beberapa farmasi dan fasiliti kesihatan hasil pemantauan semasa.
“MDA sedang mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan ditambah dan diedarkan dengan mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.
“Sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran atau penjualan kit ujian influenza tidak berdaftar adalah dilarang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.-UTUSAN

 
								 
											









