PETALING JAYA: Pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) adalah langkah tepat dalam mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap jaminan keselamatan di sekolah.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pemasangan CCTV di sekolah juga adalah cadangan yang sudah lama disuarakan oleh pelbagai pihak dan beliau amat menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) merealisasikannya.
Beliau berkata, CCTV itu adalah peralatan yang dapat menjadi bukti atau merekod sekiranya berlaku pelanggaran disiplin sekali gus dapat mengelakkan timbul pelbagai polemik.
“Pemasangan CCTV bukan lagi satu pilihan, ia merupakan keperluan bagi memastikan sistem dan ciri keselamatan yang dibangunkan oleh pihak kementerian dapat memantau pergerakan pelajar di sekolah.
“Ini juga dapat meningkatkan kebolehpercayaan masyarakat supaya tidak lagi berasa bimbang atau ragu-ragu kerana kita tidak boleh mengharapkan guru atau warden semata-mata untuk memantau pelajar di asrama. Saya juga berharap CCTV bukan hanya dipasang di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sahaja, tetapi turut melibatkan asrama di sekolah harian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, KPM mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 buah asrama sekolah bermula 13 Oktober ini bagi menangani gejala buli, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pemilihan lokasi pemasangan dibuat berdasarkan khidmat nasihat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) serta hasil lawatan mengejut (spot check) yang dijalankan bagi menilai tahap keselamatan asrama dan sekolah.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow pula berkata, pemasangan CCTV tidak bersesuaian di semua lokasi di sekolah.
Katanya, ia akan melibatkan isu sensitiviti dan privasi yang melibatkan pelajar yang rata-rata masih berada di bawah umur.
“Terdapat juga kebimbangan penggunaan kamera keselamatan terbabit boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan jenayah lain yang melibatkan golongan kanak-kanak atau remaja.
“Penggunaan CCTV untuk menyelesaikan isu jenayah di sekolah tidak membawa makna sekiranya ia boleh membawa risiko kepada kemunculan masalah jenayah lain yang lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan CCTV juga dilihat akan meningkatkan kos perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan sekolah terbabit kerana perlu mengupah pekerja bagi memantau aspek keselamatan sekolah terbabit sepanjang masa melalui CCTV yang dipasang.
“Pihak pengurusan sekolah tidak boleh mengharapkan guru atau mana-mana kakitangan sedia ada yang kini telah banyak dibebankan dengan pelbagai tugas untuk duduk depan kamera TV bagi mengawal selia aspek keselamatan sekolah melalui CCTV,” katanya. – UTUSAN










