PARLIMEN: Struktur, fungsi MyCC perlu dikaji semula - Jalaluddin

PARLIMEN: Struktur, fungsi MyCC perlu dikaji semula – Jalaluddin

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengkaji semula struktur dan fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang didakwa semakin menyimpang daripada objektif asal penubuhannya untuk melindungi kepentingan pengguna serta memastikan pasaran yang adil dan kompetitif.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, MyCC kini dilihat hanya menumpukan perhatian terhadap isu-isu teknikal dalam sektor kurang kritikal, selain mengejar kes berprofil tinggi tanpa memberi sebarang impak langsung kepada rakyat.

Katanya, ketika rakyat terbeban dengan isu caj dan bayaran yang seolah-olah tidak mendapat perhatian dan gagal dikawal selia MyCC, pemain industri kritikal seperti makanan, pengangkutan, perubatan dan insurans meraih keuntungan besar dan terus melonjak saban tahun.

“Justeru, wajar sekali satu kajian semula terhadap bidang kuasa dan keutamaan penguatkuasaan MyCC dilakukan segera supaya tidak dilihat syok sendiri.

“Kegagalan mengutamakan kepentingan rakyat adalah kegagalan yang tidak boleh dikompromi. Sudah terbukti isu kos sara hidup di beberapa negara membawa kepada rusuhan rakyat yang terkesan dan akhirnya menggugat kestabilan dan ekonomi negara.

“Sampai bila putaran kegagalan MyCC ini akan memberi kesan buruk kepada rakyat. Dengan membiarkannya berlarutan sedemikian begitu lama seakan-akan sabotaj kepada Kerajaan Madani, yang komited dan serius mahu membela rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jalaluddin berkata, kegiatan kartel dalam sektor makanan sebagai contoh bukan sekadar menjejaskan struktur persaingan pasaran, malah turut membawa kesan langsung terhadap harga barang yang dibayar pengguna.

Katanya, sampai hari ini rakyat bercakap soal pencatutan, harga ayam dan daging serta pelbagai makanan utama lain, yang menurut penganalisis dicorakkan dan ditentukan oleh kartel.

“Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes kartel susu tepung, membabitkan bekalan ke sebuah jabatan bernilai RM120 juta yang tidak mematuhi piawaian SIRIM juga sudah cukup memperlihatkan kegagalan MyCC terhadap bidang kuasa dan fokus sebenar,” katanya.

Beliau berkata, di bawah penstrukturan itu, beliau mencadangkan supaya MYCC melantik badan penasihat, seperti dilaksanakan SPRM.

Jelasnya, semua langkah pembetulan dan kajian semula ini penting bagi menjaga persekitaran perniagaan terbaik, yang boleh memacu ekonomi negara dengan pantas.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan MyCC yang berwibawa dapat membina keyakinan pelabur, selain menjaga kepentingan awam sebagai terasnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN