KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan bantuan sebanyak RM10 juta kepada 583 sekolah pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian langkah mengatasi masalah keciciran murid di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah tersebut merangkumi 18 bantuan persekolahan termasuk bantuan perjalanan dan Pengangkutan Murid (PPM) serta Bantuan Jaket Keselamatan (JKM) bagi murid yang menggunakan pengangkutan air.
Selain itu katanya, kerajaan menyediakan 30 Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan menambah Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) kepada lima buah yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan Tiga ke Tingkatan Empat.
“Kerajaan turut mewujudkan Program Outreach Murid Cicir di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat untuk membawa murid kembali ke sekolah. Ia inisiatif strategik untuk mengenal pasti murid yang tidak lagi bersekolah atau mempunyai risiko tinggi untuk tercicir.
“Di samping itu kerajaan juga menubuhkan Task Force Intervensi dengan bertindak memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan intervensi di semua peringkat agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berfokus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai statistik terkini berkenaan keciciran murid di sekolah peringkat rendah dan menengah bagi keseluruhan Malaysia serta langkah untuk menangani isu berkenaan.
Kah Woh berkata, kadar keciciran murid di sekolah rendah adalah 0.05 peratus, manakala sekolah menengah pula adalah 0.59 peritus berdasarkan statistik diperoleh melalui Sistem Pengesanan KPM (SiPKPM) dengan merangkumi sekolah di bawah kementerian.-UTUSAN










