PETALING JAYA: China terus menjadi pasaran utama durian negara apabila mencatatkan jumlah eksport sebanyak 115,359 tan metrik bernilai RM6.37 bilion sejak 2018 hingga 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah eksport itu diperoleh berdasarkan pengeluaran Sijil Fitosanitasi daripada hasil durian sejuk beku, durian segar dan durian ‘pulp and paste’ ke China dalam tempoh tujuh tahun.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian terus komited untuk meneroka peluang serta memperluaskan pasaran baru durian Malaysia ke negara lain seperti Taiwan dan Peru selain China.
“Jangkaan nilai eksport durian dari Malaysia pada tahun 2030 adalah berjumlah RM1.8 bilion melibatkan kuantiti eksport sebanyak 69,000 tan metrik. Pada masa ini, KPKM sedang meneroka pasaran baharu untuk produk durian ke Taiwan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta KPKM menyatakan jumlah kuantiti dan nilai dagangan eksport durian sejuk beku, durian segar dan durian ‘pulp and paste’ ke pasaran China dari tahun 2018 hingga 2025.
Mohamad berkata, pada 2018, jumlah eksport durian “pulp and paste” ke China mencatatkan jumlah sebanyak 3,555 tan metrik bernilai RM202 juta.
Katanya, kemudian Malaysia mula mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji pada bulan Jun 2019 berjumlah 3,177 tan metrik bernilai RM143 juta manakala eksport durian “pulp and paste” meningkat kepada 5,239 tan metrik bernilai RM168 juta.
“Pada 2020, jumlah eksport durian sejuk beku biji telah meningkat kepada 6,225 tan metrik bernilai RM286 juta, manakala eksport “pulp and paste” menurun kepada 3,456 tan metrik bernilai RM171 juta.
“Pada 2021, eksport durian sejuk beku biji ke China meningkat dua kali ganda kepada 12,153 tan metrik bernilai RM577 juta, manakala eksport “pulp and paste” kembali meningkat kepada 5,895 tan metrik bernilai RM368 juta.
“Pada 2022, eksport durian sejuk beku biji ke China terus meningkat kepada 13,401 tan metrik dengan lonjakan nilai yang signifikan iaitu RM1.277 bilion, manakala eksport “pulp and paste” susut sedikit kepada 5,703 tan metrik bernilai RM326 juta,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun berikutnya, eksport durian sejuk beku biji ke China adalah sebanyak 13,983 tan metrik bernilai RM738 juta, manakala eksport “pulp and paste” meningkat dua kali ganda kepada 12,321 tan metrik bernilai RM623 juta.
Katanya, mulai Ogos 2024, Malaysia telah mengeksport durian segar dalam bentuk biji ke China sebanyak 501 tan metrik bernilai RM42 juta.
“Durian sejuk beku biji masih dieksport namun menurun kepada 8,518 tan metrik bernilai RM418 juta manakala eksport “pulp and paste” menurun kepada 11,611 tan metrik bernilai RM579 juta.
“Sehingga Jun tahun ini, eksport durian segar ke China telah meningkat kepada 773 tan metrik bernilai hampir RM50 juta, eksport durian sejuk beku biji sebanyak 3,599 tan metrik bernilai RM183 juta, manakala eksport “pulp and paste” sebanyak 5,241 tan metrik bernilai RM230 juta,” katanya.-UTUSAN











